Era kebangkitan generasi muda


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima cenderamata daripada angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sambil diperhatikan oleh Dr. Jamaluddin Jarjis (kanan) dan Mejar Dr. Faiz Khaleed semasa membuat kunjungan hormat di Istana Terengganu, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar ASWAD YAHYA.

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu kejayaan angkasawan negara melaksanakan misi di angkasa lepas dijadikan permulaan era baru kebangkitan generasi muda dalam memastikan Malaysia terus maju pada masa depan.

Seri Paduka bertitah, misi berkenaan perlu dijadikan platform ke arah matlamat tersebut dengan menggalakkan golongan muda khususnya pelajar sekolah berlumba-lumba menuntut ilmu.

Justeru, Tuanku Mizan mahu kedua- dua angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Mejar Dr. Faiz Khaleed turun padang berkongsi pengalaman di angkasa lepas dan latihan yang mereka jalani dengan pelajar sekolah.

“Beta gembira jika anak-anak muda ini menganggapnya sebagai era baru kebangkitan serta kesedaran untuk memenuhi hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membina modal insan demi masa depan negara.

“Harapan beta supaya anak-anak muda di negara ini menuntut ilmu sebagai kewajipan supaya kecemerlangan tersebut diteruskan,’’ titah Seri Paduka ketika menerima menghadap Sheikh Muszaphar dan Faiz di Istana Terengganu di sini hari ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Dalam pertemuan tersebut, Seri Paduka mengucapkan tahniah di atas kejayaan Sheikh Muszaphar dan Faiz yang diiktiraf sebagai angkasawan.

Seri Paduka melahirkan kesyukuran kerana Sheikh Muszaphar selamat berlepas ke angkasa lepas dan kembali semula ke Bumi.

0 comments: