Hujah pertikaian Batu Puteh ke ICJ 6 November

PUTRAJAYA: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mendengar pertikaian antara Malaysia dengan Singapura berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge, yang terletak di perairan luar pantai Johor, bermula Selasa ini di The Haque, Belanda.

Pendengaran akan bermula dengan ucapan pembukaan oleh kedua-dua pihak sebelum penyampaian hujah lisan oleh Singapura pada hari pertama.

Singapura diberikan empat hari (6-9 November) untuk menggulung hujah lisan pusingan pertama, sementara Malaysia diberikan giliran pada 13 hingga 16 November, menurut siaran akhbar laman web ICJ.

Ia akan diikuti hujah lisan dua hari pusingan kedua oleh Singapura pada 19 dan 20 November dan Malaysia pada 22 dan 23 November.

Keputusan kes dijangka disampaikan sebelum Jun tahun depan.

Pada 2003, kedua-dua negara mengemukakan bersama kepada ICJ pertikaian berhubung kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge.

Mereka memberitahu ICJ mengenai kes itu menerusi perjanjian khas ditandatangani Malaysia dan Singapura pada 6 Februari tahun lalu di Putrajaya dan dikuatkuasakan pada 9 Mei tahun itu.

Delegasi Malaysia diketuai Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, Duta Kelana yang juga Penasihat Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Luar. Beliau akan menjadi wakil Malaysia bagi kes itu sementara Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin, bertindak sebagai wakil bersama.

Pasukan undang-undang Malaysia akan diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ahli lain pasukan Malaysia ialah Sir Elihu Lauterpacht dan James Crawford, kedua-duanya profesor Undang-undang Antarabangsa di Universiti Cambridge; Profesor Undang-undang Antarabangsa Awam, Universiti Leiden, Nicolaas Jan Schrijver; Profesor Undang-undang Antarabangsa, Graduate Institute of International Studies, Geneva, Marcelo G Kohen dan Pensyarah Downing College, Universiti Cambridge,Penelope Nevill.

Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, akan mempersidangkan kes bersama 15 hakim lain, termasuk dua hakim ad-hoc yang dilantik Malaysia dan Singapura.

Hakim itu ialah Raymond Ranjeva (Madagascar), Shi Jiuyong (China), Abdul G Koroma (Sierra Leone), Gonzalo Parra Aranguren (Venezuela), Thomas Buergenthal (AS), Hisashi Owada (Jepun), Bruno Simma (Jerman), Peter Tomka (Slovakia), Ronny Abraham (Perancis), Kenneth Keith (New Zealand), Bernardo Sepulveda Amor (Mexico), Mohamed Bennouna (Morocco) dan Leonid Skotnikov (Russia).

Malaysia melantik Christopher S R Dugard dari Afrika Selatan dan Singapura, Pemmaraju Sreenivasa Rao dari India, sebagai hakim ad hoc.

Presiden ICJ, Hakim Rosalyn Higgins memutuskan untuk tidak mendengar kes itu kerana beliau pernah mewakili Singapura sebelum pelantikannya ke jawatan tertinggi di mahkamah berkenaan.

Semua 16 hakim, termasuk Awn Shawkat, akan mengundi untuk menentukan keputusan kes itu.

Ketika prosiding, kedua-dua pihak akan mengemukakan bukti termasuk peta dan dokumen berdasarkan latar belakang sejarah dan prinsip undang-undang antarabangsa seperti penemuan, pemisahan, pertambahan, serahan, serta peraturan uti possidetis iaitu sempadan negara baru merdeka berdasarkan sempadan wilayah jajahan lama, kesinambungan dan kesamaan sempadan.

Sementara itu, Abdul Gani, yang kini berada di The Hague, berkata Malaysia optimis akan memenangi kes itu.

"Kami semua cukup bersiap sedia dan pasukan kita mempunyai segala dokumen dan bukti untuk memenangi pertikaian ini...Insya-Allah.

"Setiap orang cukup bersemangat...terutama saya. Ini adalah antara pertikaian yang begitu ditunggu-tunggu selepas Malaysia memenangi pertikaian ke atas Pulau Ligitan dan Sipadan pada 2002," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, cuaca sejuk di The Hague tidak akan menjejas mood pasukan undang-undang Malaysia memberikan prestasi terbaik ketika hujah lisan pusingan pertama. � Bernama

0 comments: