Tiada universiti tempatan capai tahap dunia?

PUTRAJAYA 2 Nov. – Tiada universiti tempatan yang mencapai tahap terbilang dan boleh dianggap bertaraf dunia. Begitulah rumusan daripada Kajian Reputasi Akademik dan Hasil Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Awam (Ares) yang diumumkan hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed ketika membentangkan hasil kajian tersebut berkata, kajian yang meliputi 10 perkara itu bertujuan mendapatkan persepsi ahli akademik, pihak korporat dan majikan terhadap 17 buah IPTA tempatan.

Menurutnya, Universiti Sains Malaysia (USM) diisytiharkan sebagai universiti terbaik keseluruhan dalam Ares 2006 menerusi kaji selidik yang dilakukan sejak Mei 2005.

Pencapaian USM itu adalah susulan daripada kejayaannya mengungguli skor likert cemerlang dalam empat daripada 10 aspek yang disenaraikan menerusi penyelidikan itu.

Soal selidik ini melibatkan 242 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dua institut ASEAN, sembilan syarikat korporat dan 19 badan profesional menyaksikan USM dan Universiti Malaya (UM) telah dipilih sebagai universiti yang menjadi pilihan paling ramai pelajar.

“USM turut mendahului universiti lain dalam aspek mempunyai reputasi tenaga akademik fakulti yang paling cemerlang sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berada dalam skala baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengisytiharan penubuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di sini, hari ini.

Menurutnya, MQA dan beberapa pensyarah dari UKM dan UM telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan soal selidik itu.

Persepsi

Kajian ini merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan bagi mendapatkan persepsi ahli akademik, pihak korporat dan majikan terhadap IPTA tempatan dan bakal diadakan secara tahunan.

Sepuluh persepsi yang dikemukakan dinilai berdasarkan skor likert satu hingga enam yang bermula daripada terbilang sehingga lemah.

Universiti Darul Iman dan Universiti Malaysia Kelantan tidak termasuk dalam kaji selidik tersebut kerana masih terlalu baru.

Mustapa memberitahu, USM juga dipilih antara yang terbaik berbanding yang lain kerana banyak memberi sumbangan penyelidikan kepada masyarakat.

Dalam penghasilan kualiti siswazah yang bermutu yang merupakan aspek ke-10 yang dinilai dalam kajian itu, tiada satu universiti pun yang tersenarai dalam skala cemerlang dan hanya dikategorikan sebagai skala baik bagi lapan IPTA utama negara.

Sementara itu, keputusan kajian menaraf IPTA yang dijalankan oleh pasukan Sistem Penarafan Institut Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) telah memulakan pusingan percubaannya hanya akan diumumkan pada Januari tahun depan.

0 comments: