Isu Iran: Senator AS beri amaran kepada Bush

WASHINGTON 2 Nov. – Seramai 30 senator negara ini semalam bertindak menulis surat kepada Presiden George W. Bush untuk memberi amaran bahawa beliau tidak memiliki kuasa untuk melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Iran.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan mengenai retorik “penuh provokasi” yang disuarakan oleh pentadbiran Bush kebelakangan ini.

Senator yang terdiri daripada 29 anggota Demokrat dan seorang anggota Bebas itu menggesa agar perbalahan dengan Iran diselesaikan menerusi diplomasi.

“Kami ingin menegaskan bahawa Kongres tidak memberi kuasa untuk tindakan ketenteraan diambil secara sendirian ke atas Iran,” tegas surat yang ditandatangani oleh anggota Senat tersebut.

Mereka termasuk calon-calon Presiden, Hillary Clinton dan Joseph Biden.

Surat itu memberi amaran, resolusi yang diluluskan oleh Senat pada September lalu yang menuntut supaya Kor Pengawal Revolusi Iran disenaraikan sebagai sebuah pertubuhan pengganas, tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk melancarkan perang.

Ia turut membidas “kenyataan dan tindakan berunsur provokasi” oleh pentadbiran Bush selepas Presiden bulan lepas memberi amaran bahawa Teheran mesti dihalang daripada memiliki senjata nuklear bagi mengelakkan kemungkinan meletusnya “Perang Dunia Ketiga.”

“Kenyataan berkenaan tidak produktif dan menjejaskan usaha untuk menyelesaikan ketegangan dengan Iran menerusi diplomasi,” jelas surat yang diselaraskan oleh Senator Jim Webb dari Virginia itu.

– AFP

0 comments: