KUALA LUMPUR 2 Nov. – Perbicaraan tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge antara Malaysia dan Singapura akan didengar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, Selasa ini.
Perbicaraan akan berlangsung di Peace Palace, The Hague selama 17 hari di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Penasihat Hal Ehwal Luar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad dan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin bertindak sebagai wakil bersama.
Manakala Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai barisan enam peguam yang akan membentangkan hujah-hujah secara lisan bagi mempertahankan tuntutan Malaysia ke atas ketiga-tiga pulau itu.
Lain-lain dalam pasukan itu ialah Sir Elihu Lauterpacht dan James Crawford, kedua-duanya profesor Undang-undang Antarabangsa di Universiti Cambridge; Nicolaas Jan Schrijver, profesor Undang-undang Antarabangsa Awam, Universiti Leiden; Marcelo G. Kohen, profesor Undang-undang Antarabngsa, Graduate Institute of International Studies, Geneva; dan Penelope Nevill, pensyarah kolej, Downing College, Universiti Cambridge.
Pusingan pertama pembentangan hujah-hujah lisan akan dimulakan oleh Singapura selama empat hari bermula dari 6 hingga 9 November diikuti dengan Malaysia pada minggu berikutnya.
Pusingan kedua pembentangan hujah-hujan lisan juga akan dimulakan oleh Singapura pada 19 November dan 20 November.
Malaysia akan mengakhiri hujah-hujahnya pada 22 dan 23 November. Keputusan kes dijangka diumumkan enam bulan selepas tarikh tersebut.
Isu tuntutan bertindih ke atas pulau itu timbul apabila Singapura mula mempertikaikan kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Puteh pada 1980, 25 tahun selepas berpisah dengan Malaysia.
Satu perjanjian khas telah ditandatangani pada 6 Februari 2003 oleh kedua-dua negara itu untuk membawa isu tersebut ke ICJ bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.
Dengan termeterainya perjanjian itu, keputusan berhubung kedaulatan pulau tersebut serta dua lagi pulau batu berhampirannya akan ditentukan oleh mahkamah berkenaan.
Wisma Putra telah berusaha menyelesaikan pertikaian itu sejak lebih sedekad lalu dengan perbincangan dua hala yang pertama diadakan pada tahun 1993 dan kedua pada tahun 1994. Kedua-dua perbincangan itu bagaimanapun tidak berjaya menyelesaikan pertikaian tersebut.
Hakim
Sebanyak 15 hakim lain bersidang sepanjang kes tersebut termasuk dua hakim ad hoc dilantik oleh Malaysia dan Singapura.
Hakim-hakim itu ialah Raymond Ranjeva (Madagascar), Shi Jiuyong (China), Abdul G. Koroma (Sierra Leone), Gonzalo Parra Aranguren (Venezuela), Thomas Buergenthal (AS), Hisashi Owada (Jepun), Bruno Simma (Jerman), Peter Tomka (Slovakia), Ronny Abraham (Perancis), Kenneth Keith (New Zealand), Bernardo Sepulveda Amor (Mexico), Mohamed Bennouna (Morocco) dan Leonid Skotnikov (Russia).
Malaysia telah melantik Christopher S.R. Dugard dari Afrika Selatan dan Singapura, Pemmaraju Sreenivasa Rao dari India, sebagai hakim ad hoc.
Presiden ICJ, Hakim Rosalyn Higgins memutuskan untuk tidak mendengar kes itu kerana beliau pernah mewakili Singapura sebelum pelantikannya ke jawatan tertinggi di mahkamah itu.
0 comments:
Post a Comment