Ramli kena gantung tugas

Oleh Hussain Said

SEREMBAN: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan kelmarin, digantung tugas sehingga kesnya diputuskan mahkamah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz, berkata tindakan penggantungan kerja itu adalah prosedur biasa seperti yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Ikut prosedur yang diamalkan apabila seseorang (penjawat awam) dihadapkan ke mahkamah, dia akan ditahan kerja hingga kesnya selesai. Ini peraturan yang diamalkan dan beliau (Ramli) juga tertakluk kepada peraturan itu," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan sempena persaraannya selepas berkhidmat 38 tahun 13 November ini. Hadir sama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohd Noh Kandah.

Mohd Najib bagaimanapun berkata, selepas kes mahkamah selesai nanti, terpulang kepada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menentukan kedudukan Ramli.

�Soal berhubung sama ada seorang pemangku untuk jawatan itu akan dilantik atau siapa yang akan dipilih juga akan ditentukan oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan),� katanya.

Ramli, 55, didakwa di mahkamah oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas tiga tuduhan - dua kerana tidak mendedahkan maklumat sebenar harta dan saham miliknya, manakala satu lagi menjadi pengarah sebuah syarikat.

Beliau yang ditahan selepas datang ke Ibu Pejabat BPR di Putrajaya, kira-kira jam 11.45 pagi, kelmarin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga tuduhan itu. Ramli yang menyertai PDRM pada 1979, adalah pegawai tertinggi polis yang didakwa BPR setakat ini.

Ramli mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-ketiga tuduhan itu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 15 Januari depan.

Mohd Najib berkata, pihaknya juga tidak perlu mengadakan siasatan dalaman atau mengambil tindakan tatatertib terhadap Ramli kerana beliau sudah dihadapka ke mahkamah dan menyerahkan kepada mahkamah menentukan kesnya.

Ditanya mengenai semakin ramai pegawai dan anggota polis didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan sejak kebelakangan ini, Najib berkata ia mungkin menjejaskan imej pasukan keselamatan itu tetapi percaya ia tidak menjejaskan keyakinan masyarakat.

"Bagaimanapun, saya ingin menasihatkan semua pegawai dan anggota supaya sentiasa berusaha menjaga imej pasukan dengan menjalankan tugas masing-masing mengikut peraturan serta arahan yang sudah ditetapkan.

"Saya percaya jika mereka menjalankan tugas mengikut peraturan dan arahan yang sudah digariskan, mereka tidak perlu khuatir atau bimbang dikenakan tindakan," katanya yang percaya kes itu tidak akan menjejaskan moral pasukan.

0 comments: