51 pengikut cuba hidup semula al-Arqam ditahan

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


MASIH BERLELUASA: Sazali (dua dari kiri) melihat gambar bekas pemimpin al-Arqam, Ashaari Muhammad yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Ara, di Georgetown, kelmarin.

Isteri bekas pemimpin kumpulan diberkas ketika sampai amanat

GEORGETOWN: Seramai 51 orang, termasuk isteri bekas pemimpin al-Arqam, Hatijah Aam, ditahan kerana disyaki cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah yang diharamkan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Ara, Sungai Ara dekat sini, kelmarin.

Wanita berusia 53 tahun itu bersama 50 yang lain termasuk dua remaja bawah umur, ditahan kira-kira jam 10.15 malam oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) dengan bantuan polis.


Semua 27 lelaki dan 24 wanita termasuk masing-masing seorang remaja lelaki dan perempuan berusia 13 dan 15 tahun dibawa ke Balai Polis Bayan Baru untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Pengarah Jaipp, Sazali Hussein, berkata ketika pemeriksaan dilakukan, dua lelaki dan dua wanita, termasuk Hatijah sedang duduk di atas sofa, manakala pengikut yang lain bersila di lantai.

Katanya, siasatan awal mendapati ia adalah satu perjumpaan dengan semua pengikut berhimpun dalam rumah itu, dipercayai untuk mendengar amanat yang mahu disampaikan oleh Hatijah.


"Anggota penguat kuasa agama menggeledah rumah itu dan menemui beberapa dokumen, buku tulisan Ashaari Muhammad (bekas pemimpin al-Arqam), poster, tasbih dan poster Rufaqa.

"Mereka dipercayai cuba untuk menghidupkan semula secara sulit ajaran yang diharamkan kerajaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sazali berkata, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan dipercayai pengikut setia ajaran itu dan terdiri daripada pensyarah institusi pengajian tinggi awam, guru dan pengurus syarikat.

Katanya, kumpulan berkenaan juga berasal dari beberapa negeri termasuk Pahang, Terengganu, Perak dan Kedah.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9, 12 dan 13, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan ingkar arahan pihak berkuasa agama, pendapat yang bertentangan dengan fatwa dan penerbitan agama yang bertentangan hukum syarak.

0 comments: