IPOH 2 Nov. – Seorang anggota polis yang mengacu pistol ketika ditahan oleh sepasukan lima pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam kerana disyaki menerima rasuah, dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 hari ini.
Anggota polis berpangkat koperal, berumur dalam lingkungan 40-an dan bertugas sebagai detektif itu kemudiannya diserahkan kepada sepasukan anggota polis di pejabat BPR di sini pada kira-kira pukul 4 petang ini.
Dia dibawa menaiki sebuah kereta peronda polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini untuk siasatan lanjut berhubung tindakannya mengacu pistol kepada pegawai BPR semalam.
Timbalan Pengarah BPR Perak, Nor Rasmi Shari berkata, BPR masih menjalankan siasatan terhadap kes rasuah melibatkan anggota berkenaan.
‘‘Kita serahkan kes anggota itu mengacu pistol kepada pegawai BPR semalam kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian semalam, seorang anggota polis bertindak nekad mengacukan pistol ke arah lima pegawai BPR bagi mengelak dirinya ditangkap selepas dipercayai menerima rasuah sebanyak RM1,000 daripada seorang awam di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Puteh dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini terkejut apabila dihampiri pasukan BPR yang sebelum itu telah memerhatikan gerak-gerinya.
Jurucakap BPR berkata, sebaik sahaja pasukan BPR memperkenalkan diri, anggota polis berkenaan cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan antara mereka.
“Dia kemudiannya mengacukan pistol ke arah anggota BPR yang mahu menahannya.
“Anggota itu berjaya ditangkap setelah melarikan diri dengan sebuah motosikal ke balai polis Pasir Puteh,” kata jurucakap itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC II Ismail Yatim ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kes melibatkan anggota polis itu.
0 comments:
Post a Comment