KUALA LUMPUR: Pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, semalam, beliau datang ke negara ini untuk bekerja dengan baik dan bukannya mencederakan dirinya sendiri bagi mendapatkan wang pampasan.
Disoal Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran ketika sesi pemeriksaan semula, Nirmala menafikan mengetahui pekerja asing akan menerima pampasan sekiranya mengalami kecederaan ketika bertugas.
Beliau juga menafikan berbohong dan mengada-adakan cerita mengenai kecederaan serta tindakan majikannya, Yim Pek Ha, 38, yang tidak membayar gaji semata-mata untuk mendapat wang pampasan berkenaan.
Dia turut menafikan mencederakan diri sendiri untuk menarik perhatian majikannya, menghukum diri sendiri supaya dihantar pulang ke Indonesia.
Nirmala berkata, walaupun didera, beliau tidak menghubungi ejennya kerana dia tidak dibenarkan menggunakan telefon atau bercakap dengan orang lain yang datang ke rumah kerana dilarang oleh Yim.
Ketika disoal Raja Rozela berhubung anak patung arnab yang mempunyai kesan koyak di perut, Nirmala berkata, beliau tidak pernah mencuri barang kemas majikannya atau menyorokkan barang yang dicuri di dalam anak patung itu.
Malah, katanya, anak patung itu yang disimpan di dalam bilik tidurnya, sudah mempunyai kesan koyak ketika dihadiahkan Yim.
Beliau berkata, Yim menghadiahkan anak patung itu kepadanya ketika beliau mula bekerja dengan tertuduh.
Nirmala, 23, berkata demikian dalam perbicaraan membabitkan Yim yang menghadapi tiga tuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Nirmala, 23, yang berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di 33B-25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail pada Januari, Mac dan April 2004.
Yim yang diwakili peguam Jagjit Singh turut didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Nirmala menggunakan cawan besi pada jam 3 petang, 17 Mei 2004.
Sementara itu, disoal Raja Rozela apakah keadaan sebenar beliau selepas keluar dari rumah majikannya pada 17 Mei 2004, Nirmala berkata; ‘Selepas keluar, saya berdiri di tangga, kemudian ada orang datang dan membawa saya ke rumah majikan, selepas itu saya dibawa ke bilik pengawal keselamatan.
Nirmala berkata, laporan polis yang dibuatnya sebelum ini adalah benar dan menegaskan Yim tidak pernah membayar gajinya sepanjang beliau bekerja dengan tertuduh.
Beliau berkata, ketika menulis butir peribadi bagi umur ibu bapanya di dalam borang untuk bekerja di negara ini, dia tidak merujuk kepada sebarang dokumen.
“Saya tidak tahu ia tidak betul, saya hanya tulis saja,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir bersambung pada Isnin ini.
0 comments:
Post a Comment