Myanmar usir diplomat PBB

BANGKOK 2 Nov. – Junta Myanmar akan mengusir diplomat tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara itu, Charles Petrie kerana membuat kenyataan mengenai masalah kemiskinan.

Petrie dipanggil ke ibu negara baru Myanmar, Naypyidaw untuk mendengar bantahan rasmi daripada kerajaan berhubung kenyataannya pada 24 Oktober lalu, kata seorang diplomat asing di sini hari ini.

Beliau kemudiannya diberi sepucuk surat yang menyatakan junta tidak akan memenuhi permintaan PBB bagi memperbaharui tempoh perkhidmatannya yang dijadual berakhir sedikit masa lagi.

Pegawai PBB di sini mengesahkan Petrie dipanggil ke Naypyidaw tetapi mereka tidak tahu mengenai “ancaman untuk mengusir beliau”.

Petrie selaku diplomat PBB paling kanan di Yangon sedang bersedia untuk kunjungan utusan khas PBB ke Myanmar, Ibrahim Gambari, esok.

Lawatan itu adalah yang kedua sejak protes prodemokrasi ditumpaskan dengan kekerasan pada September lalu.

– Reuters

0 comments: