Tawaran rasuah: Nik Aziz diminta lapor BPR

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa pernah ditawarkan rasuah bernilai jutaan ringgit dinasihatkan supaya segera melaporkannya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, jika Nik Aziz gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap beliau mengikut Seksyen 17, Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Di bawah seksyen itu, mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Justeru, Nik Aziz perlu melaporkan perkara itu kepada pihaknya seperti mana diperuntukan di bawah akta tersebut.

“Saya akan bertanyakan perkara itu kepada Pengarah BPR Negeri Kelantan sama ada Nik Aziz telah membuat aduan terhadap dakwaannya itu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Seminar Perkongsian Awam-Swasta Dalam Membanteras Rasuah dan Memelihara Integriti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ahmad Said mengulas perkara itu berikutan kenyataan Nik Aziz kepada Bernama baru-baru ini yang menyebut: “Saya pun orang hendak beri berjuta-juta tapi ingat ke neraka buat apa. Duit banyak, masuk neraka di mana cerdiknya kita.”

Beliau menambah, ada kemungkinan yang Nik Aziz tidak menyedari bahawa tawaran rasuah jutaan ringgit seperti yang dinyatakannya itu perlu dilaporkan.

“Sekiranya perkara itu tidak dilaporkan kepada BPR, bagaimana hendak membanteras rasuah di negara ini,” jelasnya.

0 comments: