Nirmala nafi curi barang kemas

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Pembantu rumah, Nirmala Bonat menafikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia pernah mencuri barang kemas majikan dan menyorokkannya ke dalam anak patung pemberian wanita tersebut.

Nirmala, 22, berkata demikian selepas ditunjukkan sebuah anak patung arnab yang mempunyai kesan koyakan di bahagian perut semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran pada perbicaraan terhadap tertuduh, Yim Pek Ha.

Menurut Nirmala, kesan koyakan pada anak patung tersebut telah sedia ada semasa diterima olehnya daripada majikannya itu tetapi ia tidak pernah digunakan untuk menyimpan apa-apa barang.

Anak patung tersebut yang disimpan di dalam bilik tidurnya, jelas wanita Indonesia itu, diberikan semasa dia mula bekerja dengan suri rumah tersebut.

Pek Ha, 37, dibicarakan setelah dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala dengan menggunakan seterika dan air panas di rumahnya di 22B-25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala dengan menggunakan cawan besi, pada 3 petang 17 Mei 2004 di tempat yang sama.

Bagi tiga tuduhan pertama itu, Pek Ha didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Satu lagi tuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 325 kanun yang sama dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Dalam keterangannya, Nirmala menafikan dia berbohong dan mengada-adakan cerita mengenai kecederaan yang dialaminya dan tindakan tertuduh yang tidak membayar gajinya adalah bertujuan mendapatkan wang pampasan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir bersambung Isnin ini.

0 comments: