BPR cari langkah halang kakitangan swasta rasuah

Oleh Abdul Razak Raaff

Menteri mahu agensi pertingkat hubungan dengan badan luar negara

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan meningkatkan kerjasama dengan sektor swasta bagi membantunya melaksanakan pelbagai langkah yang boleh menghalang daripada berlakunya rasuah dalam sektor berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata BPR juga memerlukan cadangan sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani gejala rasuah yang sebenarnya turut berlaku dalam sektor terbabit.

Selain itu, katanya, BPR akan meningkatkan kerjasama dengan semua agensi sama di luar negara kerana ia penting sebagai usaha membanteras rasuah berikutan perkembangan dunia tanpa sempadan dan pertumbuhan pelbagai projek pembangunan kerajaan oleh syarikat swasta.

"Sektor swasta juga perlu menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan dan boleh mencontohi Pasukan Petugas Khas Pemudah cara Perniagaan (Pemudah) seperti dilakukan kerajaan.

"Rasuah juga berlaku dalam sektor swasta dan kita minta syarikat swasta dan korporat supaya mewujudkan kerjasama lebih erat dengan BPR dan bersama-sama dengan kerajaan untuk menghapuskan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Perkongsian Sektor Awam dan Swasta Bagi Membanteras Rasuah dan Melindungi Integriti, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan; Timbalan Ketua Pengarah 1 (Operasi), Datuk Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Ketua Pengarah II, Datuk Zakaria Jaffar.

Pada majlis sama, Nazri turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara BPR dan Pihak Berkuasa Kawalan Perancangan dan Latihan Pentadbiran Mesir (PTACAE). BPR diwakili Abu Kassim, manakala PTACAE oleh Timbalan Pengerusinya, Mohamed El-Shafaey.

Sementara itu, Abu Kassim yang membentangkan kertas kerja bertajuk `Mempromosi Bebas Rasuah di Sektor Swasta - Fungsi BPR� pada sesi pertama seminar itu mencadangkan syarikat swasta mewujudkan satu polisi membanteras rasuah yang komprehensif untuk kakitangannya.

Beliau berkata, sehingga September lalu, BPR membuat 88 tangkapan membabitkan pegawai dan pekerja di sektor swasta dengan 21 kes sudah dibuat pendakwaan di mahkamah. BPR sedia memberi bantuan nasihat dan khidmat runding kepada mereka untuk menyediakan polisi sedemikian, sekali gus dapat membantu kerajaan membanteras rasuah.

"Kita juga menasihatkan mereka supaya segera melaporkan kepada BPR jika ada kes rasuah dan perlu mengikis anggapan imej syarikat akan terjejas jika berbuat demikian," katanya.

Seminar dua hari berakhir hari ini disertai 120 peserta termasuk 29 wakil daripada agensi pencegahan rasuah antarabangsa, 36 wakil sektor swasta dan NGO.

0 comments: