Majoriti pensyarah USM ada PhD

Oleh Norfatimah Ahmad, Amirullah Andi Nur

Petunjuk Kajian Reputasi Akademik MQA panduan untuk capai taraf gemilang

KUALA LUMPUR: Universiti Sains Malaysia (USM) yang dipilih Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai institusi pengajian tinggi awam tunggal (IPTA) dikategorikan cemerlang atau bertaraf lima bintang di negara ini menyifatkan kejayaan itu hasil kerjasama padu warganya secara berpasukan dan berterusan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak, berkata kejayaan itu juga hasil daripada penekanan kepada kedudukannya sebagai universiti penyelidikan di samping pelbagai faktor lain, termasuk memiliki kira-kira 70 peratus pensyarah memegang ijazah doktor falsafah (PhD).

"Kita berharap dengan kejayaan ini, tenaga akademik dan pelajar akan terus berganding bahu untuk mempertingkatkan lagi pencapaian dan standard USM. Sesuai dengan kejayaan ini, USM merancang untuk mewujudkan sebuah taman penyelidikan sendiri," katanya ketika dihubungi semalam.

Dzulkifli berkata, hasil Kajian Reputasi Akademik MQA itu memberi petunjuk terhadap keperluan yang harus diberi perhatian USM dalam melaksanakan program pembangunannya pada masa depan.

Mengikut kajian MQA yang diumumkan semalam, mendapati USM berjaya mencapai penilaian lima bintang iaitu dikategorikan sebagai cemerlang, sekali gus menduduki senarai teratas dari segi reputasi IPTA di negara ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Seri Ibrahim Abu Shah, berkata UiTM bersyukur dengan penarafan berkenaan yang akan melonjakkan lagi nama universiti itu serta meningkatkan keyakinan ramai terhadapnya.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan, berkata pihaknya menerima penarafan tempatan kerana ia tepat dan relevan dengan kehendak sebenar IPTA di negara ini.

Katanya, kajian reputasi akademik yang dijalankan MQA pertama kali dilaksanakan dan ia akan menjadi penunjuk kepada prestasi universiti di negara ini.

"Bagaimanapun, saya akan memberi reaksi yang lebih jelas selepas melihat dengan teliti keputusan kajian berkenaan," katanya dihubungi di Bangkok, semalam.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim, pula berkata penarafan empat bintang yang diperoleh pihaknya wajar dijadikan garis panduan untuk memperbaiki mutu akademik universiti berkenaan, terutama dalam bidang yang mendapat penilaian yang kurang memuaskan.

"Penarafan untuk universiti tempatan tidak boleh dibangga-banggakan, sebaliknya ia bagus untuk dijadikan garis panduan untuk merangka perancangan bagi memperbaiki sebarang kelemahan," katanya.

Rafiah berkata, mengikut laporan dan maklum balas yang diterima daripada hasil kajian itu, UM perlu memperbaiki aspek penyelidikan yang dianggap masih kurang memuaskan.

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof Mohd Zulkifli Mohd Ghazali melahirkan rasa syukur kerana universiti itu masih dikategorikan sebagai terbaik (empat bintang).

"Bagi kami juga, hasil kajian itu memberikan petunjuk bahawa banyak lagi perlu dilakukan bagi meningkatkan kedudukan UTM selepas ini," katanya.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Nik Mustapha Raja Abdullah, pula berkata biarpun persepsi yang dibuat itu bersifat subjektif, beliau menganggapnya sebagai satu permulaan baik.

"Sebagai sebuah universiti tempatan yang sudah lama wujud, kita memang menjangkakan akan dinilai sebagai baik atau memuaskan. Ini satu petunjuk yang memerlukan kami semua supaya memberi sokongan untuk memperbaiki semua aspek," katanya.

Mengenai persepsi oleh bukan ahli akademik, beliau berkata ia mungkin dilihat dari perspektif berbeza.

0 comments: