Suspek edar gambar Nurin dikenal pasti

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Polis sudah mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab menyebarkan gambar bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang ditemui dalam keadaan menyayat hati di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bagaimanapun enggan mengulas mereka yang terlibat dalam kes itu.

‘‘Buat masa sekarang saya tidak dapat beritahu berapa orang yang bertanggungjawab menyebarkan gambar itu.

‘‘Tetapi mereka akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat ini,’’ katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka PDRM sempena Hari Raya Aidilfitri di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, di sini malam ini.

Gambar bedah siasat Nurin Jazlin dalam keadaan menyayat hati itu telah disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab melalui Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) baru-baru ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Musa berkata, polis masih berusaha mengesan individu yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan kejam Nurin Jazlin.

0 comments: