Polis acu pistol dilepas dengan jaminan

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

IPOH: Anggota polis berpangkat koperal yang mengacukan pistol ketika ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki meminta suapan RM1,000, kelmarin, dilepaskan dengan jaminan badan itu, semalam.

Timbalan Pengarah BPR Perak, Nor Rasmi Shari, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada anggota polis yang berusia lingkungan 40-an itu akan dihadapkan di mahkamah.


"Kes berkenaan masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Sebaik dilepaskan BPR, anggota polis itu dibawa sepasukan polis ke IPK Perak dipercayai untuk siasatan dalaman.

Pada sidang media berasingan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner II Ismail Yatim, berkata anggota polis itu disiasat kerana menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas mereka.



Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, iaitu menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

"Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau dengan denda dan sebat atau kedua-duanya," katanya.

Dalam kejadian tengah hari kelmarin, anggota polis itu mengacukan pistol ketika cuba melepaskan diri selepas diserbu lima anggota BPR di stesen minyak Jalan Pasir Putih, dekat sini.

Anggota polis itu turut bergelut dengan pegawai BPR yang menyebabkan kedua-dua pihak mengalami luka ringan.

Beliau kemudian melarikan diri ke Balai Polis Pasir Putih dengan membonceng motosikal orang awam.

Bagaimanapun, anggota polis itu berjaya dipujuk seorang pegawai polis dan ditahan di Pejabat BPR Perak.

0 comments: