Dr Muszaphar mahu cetus minat pelajar

KUALA LUMPUR: Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berhasrat menggunakan pengalamannya sebagai angkasawan pertama negara untuk menggalakkan rakyat Malaysia khususnya pelajar meminati bidang aeroangkasa.

Ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Najib Razak, di sini, semalam, beliau berkata, kejayaannya menjejak kaki ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) baru-baru ini, jelas memberi impak besar kepada negara.

Beliau yang kehilangan tujuh kilogram berat badan sepanjang 11 hari berada di angkasa berkata, dia ingin melihat kejayaannya itu sebagai inspirasi untuk rakyat mencatatkan kejayaan lebih besar dalam bidang aeroangkasa selepas ini.

"Ketika tiba dari Moscow tempoh hari, saya didatangi ramai ibu bapa, selain pelajar mengucapkan tahniah. Ada juga yang minta saya menulis nota kecil, meminta anak mereka supaya belajar bersungguh-sungguh subjek Sains dan Matematik.

"Semua ini membuatkan saya tambah teruja, sekali gus mendorong minat saya untuk menggalakkan rakyat Malaysia terutama golongan muda meneroka bidang aeroangkasa,� katanya yang ketika pergi ke ISS dengan berat 86 kilogram.

Dr Muszaphar Shukor yang turut ditemani angkasawan negara, Mejar Dr Faiz Khaleed ketika bertemu Timbalan Perdana Menteri, turut menyatakan tidak ambil peduli dengan pelbagai tanggapan berhubung status angkasawan yang diberi kepadanya.

"Apa juga panggilan yang diberi sama ada astronaut atau kosmonaut, kejayaan kita ini diiktiraf antarabangsa. Malah saya rasa bangga dengan penggunaan perkataan angkasawan yang diterima masyarakat antarabangsa. Ia berunsur kemelayuan dan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Dr Faiz berkata, beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab mencapai misi Program Angkasawan Negara kedua yang dijadualkan pada 2010 atau 2011.

"Saya sudah bersedia dan akan menggunakan tempoh tiga tahun untuk mempersiapkan diri sebelum misi kedua ini," katanya.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Faiz dijadualkan terbang semula ke Moscow pada malam Isnin atau pagi Selasa ini, bagi menghadiri upacara penganugerahan angkasawan di Star City.

0 comments: