Imej PDRM tak terjejas: Musa

Oleh Anwar Husin dan Jalal Ali Abdul Rahim

KUALA LUMPUR: Pendakwaan ke atas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, tidak akan menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Kita ikut prosedur kerana orang itu (Ramli) didakwa sebagai seorang kakitangan kerajaan, (jadi) saya tidak rasa imej polis terjejas," katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Aidilfitri di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, di sini, malam tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai imej polis yang dijangka terjejas berikutan pendakwaan ke atas Ramli, iaitu orang nombor tiga dalam PDRM.

Musa berkata, penggantungan tugas Ramli juga dibuat berdasarkan prosedur tatatertib bagi pegawai kerajaan yang didakwa di mahkamah.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan siapa yang bakal mengambil tempat Ramli.

"Saya tidak boleh beri tahu sekarang, tunggulah takkan saya nak dedahkan kerana saya tidak tahu, (nama pengganti) kena hantar ke SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Polis) dulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata, polis sudah mengenal pasti dalang yang mengedar gambar mangsa bunuh dan penderaan seksual, Nurin Jazlin Jazimin, 8, di internet.

"(Individu berkenaan) sudah dikenal pasti dan kita akan ambil tindakan tidak lama lagi," katanya.

Musa bagaimanapun enggan memberikan maklumat lanjut termasuk nama individu dan bilangan yang dikenal pasti itu.

"Mengapa saya perlu bagi tahu (maklumat) pada awak. Sebaik dia didakwa di mahkamah, kamu akan tahu siapa.

"Kita akan ambil tindakan tidak lama lagi, tunggulah saya tidak boleh beri maklumat sekarang," katanya sambil mengakui polis masih meneruskan siasatan kes Nurin.

Gambar yang disebar secara meluas di internet melalui e-mel oleh pihak tidak bertanggung jawab itu antara lain menunjukkan mayat Nurin ketika ditemui dalam beg pakaian dengan kakinya dilipat ke atas.

0 comments: