Oleh Marhaini Kamaruddin dan Ruhaidini Abdul Kadir
|
|
PUTRAJAYA 2 Nov. – Datin Seri Jeanne Abdullah berkata, beliau terkejut apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan hasrat memperisterikannya kerana tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menjadi isteri Perdana Menteri.
Dalam temu bual rasmi pertama dengan media tempatan sejak mendirikan rumah tangga pada 9 Jun lalu, Jeanne memberitahu, beliau menerima jodohnya dengan Abdullah sebagai ketentuan Allah.
“Selama ini yang saya cari ialah ketenangan hidup. Jadi saya tak mahu kusutkan fikiran. Manusia ini selalu runsingkan tentang banyak perkara khususnya soal material dan inilah yang membuatkan kita selalu susah hati.
“Saya mengikut pesanan ibu saya supaya banyak berdoa kepada Tuhan... itu yang membuatkan fikiran saya tenang,’’ katanya kepada Utusan Malaysia pada sesi suai kenal bersama wartawan di Seri Perdana di sini petang ini.
Jeanne meluahkan perasaannya itu selepas ditanya beberapa kali walaupun sebelum itu beliau keberatan untuk mendedahkan perasaannya terhadap Abdullah secara terbuka pada sesi dialog bersama media yang berlangsung secara santai selama tiga jam di dewan bankuet Seri Perdana.
Sambil menyatakan rasa syukur kerana dipertemukan jodoh dengan lelaki yang baik dan penyayang, Jeanne berkata: “Pak Lah seorang yang sabar. Bagaimana di luar, begitulah juga dia di rumah. Dia tidak ada dua karakter.’’
Menurut Jeanne, selepas menerima lamaran Abdullah, beliau tidak mahu memikirkan tanggapan orang mengenai perkahwinannya.
“Adalah sesuatu yang normal... orang akan fikir apa yang mereka hendak tetapi ia tidak menjadi masalah bagi saya,’’ katanya sambil menambah beliau dan suami sependapat tidak mahu terlalu memikirkan sesuatu masalah sehingga mengganggu tidur.
Ditanya apa yang membuatkannya terpaut hati kepada Abdullah, Jeanne, 54, spontan menjawab: “Pak Lah boleh membimbing saya menjadi Muslim yang baik.’’
Terdahulu dalam sesi dialog bersama wartawan, Jeanne ditanya bagaimana beliau menyesuaikan diri dengan gelaran isteri Perdana Menteri.
Menurutnya, ibarat bertatih, beliau masih belajar setapak demi setapak.
Dalam pertemuan itu, Jeanne yang mengenakan kurung moden batik sifon berona biru muda juga ditanya mengenai rahsia penampilannya.
Katanya: “Saya tak ada masa berjoging dan bersenam. Saya juga tidak pernah buat rawatan muka atau ke spa. Apa yang penting ialah jujur dan ikhlas kepada diri sendiri. Melaluinya anda akan memperoleh ketenangan.’’
Ditanya mengenai perasaan dan persediaannya untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO minggu depan sebagai isteri Presiden UMNO, Jeanne yang kini menjadi ahli UMNO cawangan Bertam, Kepala Batas di Pulau Pinang berkata, beliau sudah bersedia.
“Tentang perasaan saya, ia hanya akan diketahui apabila saya memasuki dewan (Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra) nanti,’’ ujarnya.
Mengenai langkahnya membantu suami menghadapi pilihan raya umum ke-12 yang akan diadakan tidak lama lagi, Jeanne memberitahu, beliau akan memberi sokongan moral tidak berbelah bagi kepada Abdullah.
Dalam perbualannya dengan wartawan, beliau berkata, isu-isu wanita dan kanak-kanak menggusarkannya dan beliau mahu soal keselamatan golongan itu khususnya kanak-kanak diberi perhatian sewajarnya.
Jeanne menekankan pentingnya ibu bapa meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala sosial dan menjadi mangsa jenayah.
“Masyarakat kadangkala bersikap tidak peduli dan ini amat menyedihkan. Kita perlu menjaga anak-anak dengan betul dan berdoa agar kejadian malang yang menimpa wanita dan kanak-kanak tidak berlaku lagi,’’ ujarnya.
0 comments:
Post a Comment