Permohonan bersara awal Mohd Yusof dibatal

Oleh Anwar Hussin

KUALA LUMPUR: Kerajaan membatalkan permohonan Ketua Unit Pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, untuk bersara pilihan, minggu lalu, kerana masih memerlukan khidmatnya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata persaraan awal bukanlah satu hak untuk mana-mana individu, ia terpulang kepada kerajaan untuk menerima atau menolaknya.

"Dalam kes ini, kerajaan berpendapat perkhidmatan Mohd Yusof masih diperlukan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau berkata, jawatan terbaru yang akan diisi Mohd Yusof akan ditentukan kemudian oleh Jabatan Peguam Negara selepas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pulang dari perbicaraan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih yang diadakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda.

Jawatan lamanya sebagai ketua unit pendakwaan sudah diisi oleh Tun Abdul Majid Tun Hamzah, 1 Oktober lalu.

Pada 11 September lalu, Abdul Gani mengesahkan spekulasi Mohd Yusof, 52, dan Ketua Unit Kes Berprofil Tinggi, Timbalan Pendakwa Raya Sallehuddin Saidin, 44, akan bersara pilihan, selepas menghantar surat berkaitan, Ogos lalu.

Abdul Gani juga berkata, permohonan kedua-dua pegawai kanan itu diluluskan kerana menerima tawaran dari luar dan sudah bercuti sebelum bersara. Bagaimanapun, difahamkan permohonan Mohd Yusof dibatalkan, minggu lalu.

Mohd Yusof sepatutnya memulakan tugas barunya di Suruhanjaya Sekuriti (SC), kelmarin.

Salehuddin pula sudah beralih bidang dengan menjadi peguam dan membuka pejabat guamannya di Shah Alam.

Mohd Yusof ketika dihubungi semalam mengesahkan sudah menerima surat pembatalan persaraan pilihannya yang dilakukan pada September lalu.

"Saya mengesahkan kebenaran untuk bersara pilihan sudah dibatalkan. Saya tidak ada sebarang ulasan berhubung perkara itu," katanya tanpa mengulas lanjut.

Mohd Yusof berkata, beliau kini masih dengan Jabatan Peguam Negara, sama seperti sebelum beliau mengemukakan permohonan bersara pilihan.

Mohd Yusof, lepasan undang-undang Universiti Malaya, menyertai perkhidmatan guaman dan badan kehakiman pada 1981 sebagai majistret di Melaka dan dilantik mengetuai Unit Pendakwaan Pejabat Peguam Negara pada 2002.

0 comments: