Saintis sedia isi misi kedua angkasawan

Oleh Amirullah Andi Nur

KUALA LUMPUR: Pasukan saintis negara sudah bersedia mengenal pasti pengisian misi kedua program angkasawan negara pada 2010 atau 2011, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Delegasi Saintifik Program Angkasawan Negara, Prof Dr A Rahman A Jamal, berkata usaha itu dilaksanakan sebaik mendapat arahan lanjut pihak berkuasa terbabit.

Katanya, pada peringkat awal, pihaknya merancang menjemput pakar dalam pelbagai bidang dari setiap institusi pengajian tinggi awam seluruh negara bagi mengemukakan cadangan masing-masing.

�Oleh kerana masa agak panjang iaitu kira-kira tiga tahun, kita bercadang melaksanakan satu perancangan komprehensif bagi menjayakan usaha ini secara bersama.

"Insya-Allah, semua saintis negara sedia berganding bahu bagi menjayakan misi kedua ini," katanya selepas turut mengiringi dua angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Mejar Dr Faiz Khaleed mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya di sini, semalam.

Pertemuan kira-kira 40 minit itu diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis. Turut serta Pengarah Program Angkasawan Negara, Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Kelmarin, selepas menerima kunjungan Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz di pejabatnya di Putrajaya, Perdana Menteri, mahu saintis tempatan mula mengenal pasti pengisian misi kedua program angkasawan negara pada masa depan.

Dr Sheikh Muszaphar yang menjadi rakyat pertama Malaysia ke angkasa pada 10 Oktober lalu, mengendalikan tiga eksperimen saintifik yang disediakan saintis negara sepanjang 11 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Eksperimen sains hayat itu membabitkan kajian ke atas empat jenis sel, termasuk dua sel kanser selain dua jenis bakteria dan penghabluran dua jenis protein yang digunakan dalam pelbagai industri.

Bahan kajian itu disediakan dua tahun secara bersama oleh saintis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mengulas lanjut, Dr A Rahman yang juga Pengarah Institut Molekul UKM, membayangkan kemungkinan tumpuan kajian bagi misi kedua akan membabitkan bidang sains material.

"Sebelum ini kita menumpukan kepada bidang sains hayat kerana tempat terhad. Kita hanya dibenarkan membawa 15 kilogram tetapi apabila kembali, dikurangkan kepada tujuh kilogram. Kita harap selepas ini, jumlah itu ditambah," katanya.

Dalam pada itu, Dr A Rahman mengesahkan hasil eksperimen yang dilakukan Dr Sheikh Muszaphar sepanjang berada di ISS tempoh hari, dijangka diketahui secara berperingkat seawal-awalnya dalam tempoh sebulan daripada sekarang.

Katanya, semua bahan kajian terbabit selamat tiba di bumi tanpa sebarang kerosakan, biarpun kapsul yang dinaiki angkasawan negara itu mengalami kesan gegaran kuat ketika mendarat.

"Analisis awal mendapati bahan eksperimen berkenaan itu selamat dan menunjukkan tindak balas seperti dijangkakan. Misalnya, protin dihablurkan yang dihantar ke Tokyo untuk analisis lanjut, sudah terbentuk.

"Kita harap dalam tempoh sebulan dua ini, semua analisis terperinci eksperimen berkenaan akan dapat disiapkan dan kemudian dikongsi bersama dengan rakyat Malaysia," katanya.

0 comments: