MoU aeroangkasa tahun depan

Oleh Amirullah Andi Nur


KEJAYAAN NEGARA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima cenderahati daripada Dr Sheikh Muszaphar Shukor (kiri) dan Dr Faiz pada majlis menghadap di Istana Terengganu di Kuala Lumpur, semalam.

Butiran lengkap program akan dibentang kepada Kabinet untuk kelulusan: Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Butiran lengkap memorandum persefahaman (MoU) program pembangunan industri aeroangkasa bagi jangka panjang dengan Russia, dijangka dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan awal tahun depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, berkata proses perbincangan dengan negara terbabit menerusi Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) dimulakan sebaik mendapat tawaran itu, baru-baru ini.

Katanya, kajian terperinci perlu dilakukan sebelum butiran MoU itu dimuktamadkan dan ditandatangani, sekali gus diperakukan Kabinet bagi memastikan ia memberi faedah kepada rakyat dan negara ini.


"Antara perkara penting yang dijangka dimasukkan dalam MoU itu adalah pengesahan kerajaan menerima tawaran Russia untuk menghantar seorang lagi angkasawan negara pada 2010 atau 2011," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama dua angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Mejar Dr Faiz Khaleed mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya, di sini, semalam.

Pertemuan kira-kira 40 minit itu turut disertai Ketua Delegasi Saintifik Program Angkasawan Negara, Prof Dr A Rahman A Jamal dan Pengarah Program Angkasawan Negara, Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

TURUT BERMINAT: Anakanda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Fatmatul Zaharah, 6, bergambar dengan Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Faiz, semalam.

Jamaluddin berkata, selain penghantaran angkasawan kedua, MoU dengan Russia itu dijangka membabitkan cadangan kerjasama menempatkan satelit komunikasi negara di angkasa, di samping membantu RazakSat, satelit remote sensing Malaysia.

Selain itu, Russia menjemput Malaysia mengambil bahagian dalam Sistem Satelit Navigasi Orbit Global Russia (Glonass) iaitu sistem yang menggunakan isyarat radio bagi mengesan manusia dan kenderaan di atas permukaan bumi.

Glonass dikendalikan Russian Space Forces. Sistem sama di Amerika Syarikat ialah Sistem Pengesanan Global (GPS).

Jamaluddin juga mengesahkan Dr Muszaphar dan Dr Faiz akan berlepas ke Moscow pada malam Isnin atau pagi Selasa ini, untuk menghadiri upacara penerimaan anugerah pengiktirafan sebagai angkasawan daripada Roscosmos.

Dr Muszaphar yang berada di angkasa lepas selama 11 hari bermula 10 Oktober lalu, kembali ke tanah air pada malam Ahad lalu bagi menghadiri majlis pengebumian adik lelakinya, Sheikh Mustafa Shukor di Seremban.

Ia kemudian disusuli Dr Faiz yang juga calon utama angkasawan bagi misi kedua negara, dua hari selepas itu.

Dalam pada itu, Jamaluddin berkata, kejayaan Dr Muszaphar menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) berjaya membangkitkan minat golongan muda negara untuk menceburi bidang aeroangkasa.

Malah, katanya, pencapaian itu berjaya memacu bidang berkenaan sebagai satu sumber baru yang penting untuk pembangunan ekonomi negara bagi jangka panjang.

"Kalau 50 tahun lalu, Russia berjaya membangkitkan semangat anak muda negaranya untuk mempelajari aeroangkasa, sebelum disusuli Amerika Syarikat, kini giliran kita pula berbuat demikian," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Najib, Jamaluddin berkata, Timbalan Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Russia atas tawarannya untuk membantu Malaysia memajukan industri aeroangkasa.

Sementara itu, Zulkeffeli berkata, persiapan untuk penghantaran angkasawan kedua negara akan diteruskan secara berperingkat termasuk latihan selama tiga bulan di Russia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Zulkeffeli juga mengesahkan Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz akan menemui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekembalinya mereka dari Moscow.

0 comments: