Harga roti berpatutan

Oleh Sazarina Shahrim

Kos import tepung naik: Shafie

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga roti antara 10 sen hingga 30 sen bermula kelmarin berpatutan berikutan kenaikan sehingga 70 peratus kos mengimport tepung gandum diperkaya yang terpaksa ditanggung syarikat pengeluar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat pengeluar bagi membincangkan isu kenaikan harga roti berkenaan tidak lama lagi.

"Kita hanya benarkan kenaikan jika ia berpatutan. Mereka (syarikat pengeluar) meminta lebih tinggi daripada harga kenaikan ini jadi kita anggap harga yang mereka naikkan itu berpatutan," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam dan sambutan Aidilfitri Kelab Umno Luar Negara di sini, semalam.

Kelmarin tinjauan Berita Harian mendapati pelbagai jenis dan ukuran roti yang dibekalkan dua pengeluar dijual dengan harga baru iaitu peningkatan antara 10 sen hingga 30 sen.

Dalam ucapannya sebelum itu, Mohd Shafie berkata, harga tepung gandum di negara ini adalah rendah iaitu sekitar RM1.30 sekilogram berbanding di Indonesia (Rp1.90 sekilogram) dan Singapura ($2.10 sekilogram).

"Bagaimanapun, masih ramai yang merungut apabila harga tepung naik sedikit," katanya.

Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Pelajar Luar Negara turut menasihatkan pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajar di luar negara supaya tidak mudah terpengaruh dengan hasutan dan dakyah pembangkang yang memburukkan kerajaan.

"Kita jangan terus percaya, cari bukti dulu mengenai dakwaan mereka. Kita tidak mahu generasi muda Malaysia menjadi golongan yang mudah terpengaruh dengan perkara seperti itu," katanya.

0 comments: