Proton kian pulih, rundingan pakatan strategik ditamatkan

Oleh Amran Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) hari ini mengumumkan tidak akan meneruskan sebarang rundingan dengan Volkswagen AG (Volkswagen) dan General Motors Corporation (GM) berhubung pakatan strategik dengan Proton Holdings Bhd. (Proton).

Menurut Khazanah, keputusan itu dibuat selepas kerajaan membenarkan Proton beroperasi secara bersendirian berikutan perkembangan positif dalam syarikat kereta nasional itu dari segi jualan domestik dan eksport.

Khazanah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, kerajaan berpendapat pengurusan Proton perlu dibenarkan untuk meneruskan rancangannya bagi mengukuhkan syarikat kereta tersebut.

Isu berhubung pakatan strategik hanya akan dipertimbangkan pada masa depan, sekiranya perlu, tambah kenyataan itu.

Kerajaan dan Khazanah merakamkan penghargaan kepada Volkswagen dan GM atas komitmen dan sikap profesional mereka sepanjang rundingan itu diadakan, kata syarikat pelaburan kerajaan itu dalam kenyataan tiga perenggannya bagi mengulas keputusan kerajaan tersebut.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam satu taklimat di Putrajaya hari ini berkata, keputusan berkenaan diambil memandangkan pelan pemulihan syarikat automotif kebangsaan sudah mula membuahkan hasil yang menggalakkan.

“Tanggapan awal bahawa Proton memerlukan rakan strategik asing untuk terus kekal relevan dalam industri automotif tidak boleh diguna pakai buat masa ini kerana keadaan Proton sudah berubah sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, kerajaan tidak menolak kemungkinan Proton menjalin pakatan strategik dengan firma asing pada masa depan apabila tiba masa yang sesuai.

Dalam perkembangan yang sama, Nor Mohamed mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan duti ke atas kenderaan penumpang yang diimport.

Katanya, jaminan itu bagi membolehkan rakyat mempunyai pilihan bagi memiliki kenderaan dan kerajaan tidak akan menaikkan duti import untuk membantu Proton.

Mengenai reaksi Volkswagen, beliau berkata, pada asasnya firma pembuat kenderaan Jerman itu kesal dengan keputusan kerajaan tetapi mengambil sikap menghormati pendirian tersebut.

Tambahnya, laporan awal yang membayangkan kedua-dua pihak sudah menghampiri untuk menandatangani satu perjanjian perkongsian hanyalah satu spekulasi yang mendahului perkembangan sebenar.

Sambil menjelaskan asas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Automotif Nasional (NAP) untuk membenarkan Proton beroperasi bersendirian, Nor Mohamed berkata, perkembangan mengenai prestasi yang kian meningkat Proton sejak beberapa bulan kebelakangan ini adalah benar.

Sehubungan itu, katanya, andaian awal yang menyatakan Proton perlu mempunyai satu rakan asing untuk memastikannya kukuh, tidak boleh diterima lagi pada masa ini.

“Keadaannya telah berubah,” katanya sambil menyatakan bahawa kerajaan perlu mengambil sikap pragmatik apabila menimbangkan keadaan yang lebih meluas lagi.

Nor Mohamed berkata, keputusan kerajaan itu berasaskan penambahbaikan dan angka jualan yang kukuh di Proton, terutama sekali Persona, yang mencatat tempahan kira-kira 22,000 unit menjelang akhir Oktober selepas ia dilancarkan dalam pertengahan Ogos.

Satu kajian pendapat yang khusus menunjukkan Indeks Kepuasan Pengguna Proton telah meningkat kepada 713 mata daripada 677 mata pada tahun lepas.

Kerajaan juga mendapat galakan daripada usaha sama di seberang laut dan jualan Proton di Iran, China dan Indonesia serta peluasan yang bakal dilaksanakan ke Thailand.

Bagi pasaran China, ia akan mula mengeksport 30,000 unit Gen.2 mulai bulan ini dan rancangan untuk mengeluarkan 80,000 unit Gen.2 di negara itu menjelang 2012 dalam urus niaga bernilai RM4 bilion.

Proton juga berusaha mengeluarkan dua model baru bagi pasaran China melalui kerjasama dengan anak syarikat kereta ‘sport’ Britishnya, Lotus.

Di Indonesia, tinjauan jualan bagi Wira juga cerah.

Nor Mohamed berkata, Proton kini menetapkan sasaran untuk menguasai agihan pasaran automobil tempatan kepada 40 hingga 50 peratus daripada 31 peratus sekarang ini melalui pengenalan model baru.

Satu model bagi menggantikan Saga dijangka dilancarkan pada Januari 2008, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) juga sedang diusahakan bagi pelancaran pada Januari 2009.

Katanya, Proton turut diminta menggunakan lebih banyak kepakaran teknologi pengeluaran kenderaan di Lotus mulai sekarang.

Proton, katanya yang mengalami kerugian RM591 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007, dijangka mencatat kerugian kecil dalam tahun semasa.

Katanya, tinjauan jangka sederhana dan panjang adalah baik ekoran penambahbaikan keseluruhan yang dilaksanakan oleh pengurusan dan kakitangan Proton, termasuk mengecilkan jumlah pengedarnya daripada 362 kepada 250 menjelang Disember 2008.

0 comments: