Kerajaan terus galakkan pelaburan di WPI

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan terus berusaha menggalakkan pelaburan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, antara pelabur asing yang telah menunjukkan minat untuk melabur di WPI setakat ini ialah dari India, China, Singapura, Jepun dan negara-negara Asia Barat.

Beliau berkata, sekumpulan pelabur dari Abu Dhabi, Kuwait, Arab Saudi dan Lebanon telah membuat perjanjian untuk melabur di WPI dengan jumlah pelaburan melebihi RM4.1 bilion.

Katanya, pelabur terbabit akan membangunkan kawasan seluas antara 800 hingga 1,000 hektar bersama dengan South Johor Investment Corporation Bhd. (SJIC) bagi melaksanakan beberapa projek dalam tiga bidang iaitu hartanah, pelancongan dan rekreasi.

‘‘Kerajaan melihat pelaburan asing amat penting dalam pembangunan ekonomi negara. Dalam menggalakkan penyertaan pelabur asing, beberapa insentif khusus seperti pengecualian cukai pendapatan korporat selama 10 tahun diberikan.

‘‘Pengecualian daripada cukai pegangan atas royalti dan bayaran yuran teknikal kepada penduduk bukan warganegara selama 10 tahun, pengecualian daripada peraturan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) serta guna tenaga tidak terhad ke atas pekerja asing turut disediakan sebagai insentif,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan turut berusaha untuk menarik pelabur sama ada pelaburan tempatan atau asing untuk melabur di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

‘‘Pelaburan ini adalah penting kerana bagi mencapai tujuan membangunkan kawasan utara Semenanjung, sejumlah besar dana perlulah dilaburkan ke dalam wilayah ini.

‘‘Kerajaan percaya pelabur asing dan tempatan akan menunjukkan respons yang sama seperti di WPI kerana kita (kerajaan) juga telah menyediakan insentif tertentu bagi menarik pelabur datang melabur di NCER,” ujarnya.

0 comments: