Pemeteraian cermin semangat kesepakatan

ASEAN yang menyambut tahun ulang ke-40 penubuhannya tahun ini, melakar satu lagi sejarah apabila semua 10 pemimpinnya memeterai Piagam Asean, sekali gus memberikan identiti perundangan kepada pertubuhan serantau berkenaan dalam mengukuhkan kehadirannya sebagai pertubuhan serantau penting dan berpengaruh.

Majlis memeterai piagam itu diadakan pada hari pertama mesyuarat ketua negara Asean sempena Sidang Kemuncak Asean ke-13 di sini, semalam. Ia dimeterai Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Perdana Menteri Thailand; Surayud Chulanont; Presiden Filipina, Gloria Arroyo; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Turut memeterai Piagam Asean ialah Perdana Menteri Laos, Bouasone Bouphavanh; Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung; Perdana Menteri Kemboja, Hun Seng; serta Perdana Menteri Myanmar, Thein Sein.

Pemeteraian piagam itu juga mencerminkan semangat kesepakatan dan konsensus di kalangan negara anggota, selepas draf piagam itu menerima kritikan kumpulan pemantau hak asasi manusia kerana tidak memasukkan tindakan sekatan atau penyingkiran terhadap anggota yang tidak mematuhi peruntukan Piagam, selain kritikan kerana keengganan Asean mengenakan sebarang tindakan terhadap Myanmar yang didakwa melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Majlis memeterai piagam itu juga berlangsung sehari selepas penolakan usul Singapura untuk menjemput utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari bagi memberi taklimat kepada pemimpin Asean dan Negara Asia Timur mengenai perkembangan terkini di Myanmar sempena sidang kemuncak kali ini.

Usul Singapura selaku tuan rumah sidang kemuncak kali ini dibantah Menteri Luar Myanmar, Ngan Win pada mesyuarat Menteri Luar kelmarin dan mendapat sokongan negara anggota lain.

Menerusi Piagam yang mengandungi 13 Bab dan 55 Artikel, itu Asean buat kali pertama menggariskan landasan untuk memberikan perlindungan alam sekitar, hak asasi manusia dan mewujudkan blok ekonomi bebas di rantau itu.

Piagam juga menggariskan kesungguhan negara anggota untuk bersatu di bawah visi, identiti dan komuniti tetapi pada masa sama menghormati prinsip asas kerjasama Asean untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara anggota dan proses membuat keputusan berdasarkan konsensus.

Selain itu, Piagam Asean turut meletakkan sasaran memperkukuhkan amalan demokrasi dan menggalakkan hak asasi manusia dengan menubuhkan badan hak asasi manusia yang akan diputuskan oleh Menteri Luar.

Piagam itu juga mengesyorkan supaya sidang kemuncak diadakan dua kali setahun bagi membolehkan ketua kerajaan di rantau ini mempunyai masa yang lebih untuk membincangkan perkara berkaitan Asean.

Antara matlamat penting Piagam Asean ialah untuk mengekal dan meningkatkan keamanan dan keselamatan di rantau Asean, selain mengekalkan Asia Tenggara sebagai kawasan bebas tenaga manusia.

Piagam Asean perlu mendapat pengesahan daripada negara anggota dalam tempoh setahun, sebelum ia didaftarkan dengan Sekretariat PBB.

0 comments: