Perjanjian konsesi lebuh raya belum diumum

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Kerajaan belum memutuskan bila perjanjian konsesi lebuh raya akan diumumkan kepada orang ramai, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Beliau berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan di peringkat Kabinet dan sebarang keputusan akan diumumkan nanti.

“Buat masa sekarang, ia tidak akan diumumkan kepada orang ramai lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Deepavali anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan ramai pihak yang mahu perjanjian konsesi bagi semua lebuh raya di negara ini didedahkan kepada orang ramai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Februari lalu, pada dasarnya bersetuju dengan cadangan itu.

Kementerian berkenaan kemudian menyerahkan kertas cadangan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Dalam perkembangan lain, Samy Vellu yang juga Presiden MIC berkata, pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan di hadapan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British Ahad ini hanya bermimpi untuk mendapat sokongan besar daripada kaum India di negara ini.

“Mereka kata kaum India di negara ini masih mundur dan beritahu bahawa sesiapa yang menyokong akan dapat duit pampasan. Jangan terpedaya dengan mereka ini,” katanya.

MIC semalam menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan perhimpunan yang akan dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Ahad ini.

Menurut Setiausaha MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam, penganjur perhimpunan itu, Hindu Rights Action Force (Hindraf) merancang menyerahkan 100,000 tandatangan petisyen yang mewakili kaum India di negara ini kepada kerajaan Britain bagi meminta pampasan wang tunai.

0 comments: