ABP-BH 2007 terima pencalonan awal paling tinggi

Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Nurulhisham Abdul Latiff


PAMER AKSESORI: Barisan model dan artis terkenal menyerikan majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 dengan memperagakan koleksi perhiasan Habib Jewels serta gaun ciptaan Carven Ong dan Calvin Thoo di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, semalam.

SERI KEMBANGAN: Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABP-BH 2007) yang dilancarkan semalam, menerima 761 pencalonan awal, tertinggi dalam sejarah 21 tahun penganjurannya.

Tahun lalu, 653 pencalonan awal diterima. Senarai pencalonan untuk pusingan awal ABP-BH 2007 bagi merebut tempat dalam 16 kategori yang dipertandingkan itu akan disiarkan Berita Harian selama lima minggu, mulai esok.

Kali ini, pencalonan paling banyak diterima menerusi kategori Pelakon TV Lelaki Popular iaitu 136 pencalonan, diikuti kategori Pelakon TV Wanita Popular sebanyak 119 pencalonan.


Kategori lain yang turut dicalonkan adalah Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular, Penyampai Radio Lelaki Popular, Penyampai Radio Wanita Popular, Pengacara TV Lelaki Popular, Pengacara TV Wanita Popular, Penyanyi Nasyid Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Artis Komedi Lelaki Popular, Artis Komedi Wanita Popular, Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Baru Wanita Popular.

Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail, berkata penyertaan yang amat tinggi itu menunjukkan semakin ramai artis, selebriti dan personaliti hiburan berminat menyertai ABP-BH.

"Kami akui memang ramai yang mahu disenaraikan dalam pencalonan awal, namun kami berpegang pada syarat penyertaan, iaitu pencalonan dikira sah jika seseorang artis atau selebriti itu mempunyai produk seperti album, filem, drama, sitkom, rancangan televisyen dan radio dalam tempoh kelayakan bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2007," katanya.

CERIA: Sebahagian daripada selebriti yang memeriahkan majlis sidang media pertama ABP-BH di Seri Kembangan, semalam.

Beliau yang juga Penaung ABP-BH 2007, berkata demikian pada majlis pelancaran anugerah itu di Palace Of The Golden Horses di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Datuk Aziz Bakar, Pengarah Pemasaran NSTP, Pat Wahid dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABP-BH yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian; Hanizam Abdullah.

Antara artis popular yang turut memeriahkan majlis itu ialah Datin Seri Siti Nurhaliza, Faizal AF4, Maya Karin, Fasha Sandha, Farawahida, Rabbani, Mila, Foziah Ghouse, Nikki, Diddy, Asyraff Muslim, Sherry Ibrahim, Nik Adruce dan kumpulan Abstrak Hingga Ke Bulan. Penyampai Hot FM, Faizal dan Fara Fauzana pula bertindak sebagai pengacara majlis.

ABP-BH menyaksikan kerjasama Berita Harian dan (PAIMM) sebagai penyelaras serta pengurus produksi. Acara gilang gemilang ini akan berlangsung pada 16 Mac depan di Arena Of Stars, Genting Highland Kota Keriangan.

Acara yang disifatkan sebagai majlis anugerah pilihan peminat paling berprestij dalam kalendar seni tanah air itu, mengiktiraf nama popular yang mewarnai dan memeriahkan industri seni muzik, perfileman dan penyiaran tanah air.

Sementara itu, syarat bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Penyanyi Berkumpulan Popular/Duo Popular juga diberi kelonggaran apabila mereka yang hendak dicalonkan mesti sudah merakamkan satu 'single' atau satu lagu baru.

Bagaimanapun single atau lagu baru itu perlu dirakamkan semula dan bukannya diambil dari mana-mana konsert sebelum ini.

Berdasarkan sejarah penganjuran ABP-BH yang memasuki tahun ke-21, pencalonan awal untuk musim ini juga menyaksikan banyak muka baru dan sedang meningkat nama, bakal memberi saingan sengit kepada artis popular sedia ada.

Malah, ada antara calon diramalkan mempunyai laluan mudah untuk menempah kedudukan dalam senarai lima finalis. Namun, nasib mereka masih samar kerana ABP-BH diadili peminat berdasarkan populariti dan pengaruh seseorang calon itu.

Bagi memilih lima calon terakhir untuk setiap kategori, pengundi dikehendaki mengumpul dua borang pencalonan yang akan disiarkan selama lima minggu dalam akhbar Berita Harian dan Berita Minggu, mulai esok.

Format pemilihan yang digunakan untuk semua kategori juga masih dikekalkan seperti tahun lalu, termasuk Bintang Paling Popular, iaitu kemenangan ditentukan majoriti jumlah undian yang diterima.

Pembaca perlu mengumpul kedua-dua siri borang berkenaan dengan membuat pilihan lima calon finalis bagi setiap kategori.

Ini bermakna, pembaca Berita Harian perlu membuat 80 pemilihan artis atau selebriti pilihan, seterusnya melengkapkan borang dengan biodata diri dan slogan kreatif sebelum mengirimnya kepada penganjur.

Selain mencalonkan artis kesayangan, pembaca juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa.

INFO: Kategori dipertanding

  • Pelakon TV Lelaki Popular
  • Pelakon TV Wanita Popular
  • Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular
  • Penyampai Radio Lelaki Popular
  • Penyampai Radio Wanita Popular
  • Pengacara TV Lelaki Popular
  • Pengacara TV Wanita Popular
  • Penyanyi Nasyid Popular
  • Pelakon Filem Lelaki Popular
  • Pelakon Filem Wanita Popular
  • Artis Komedi Lelaki Popular
  • Artis Komedi Wanita Popular
  • Artis Baru Lelaki Popular
  • Artis Baru Wanita Popular
  • Penyanyi Lelaki Popular
  • Penyanyi Wanita Popular

0 comments: