Abdul Razak telefon Azilah 12 kali

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 20 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Abdul Razak Abdullah Baginda membuat sekurang-kurangnya 12 panggilan ke telefon bimbit Cif Inspektor Azilah Hadri 21 Oktober tahun lalu, iaitu dua hari selepas Altantuya Shaariibuu dilaporkan hilang.

Ketua Jurutera di Bahagian Perkhidmatan, Informasi dan Bil Maxis Communications Bhd. (Maxis), Goh Peng Chew menyatakan demikian ketika mengesahkan terdapat komunikasi antara Abdul Razak dengan Azilah sama ada melalui panggilan telefon atau pun khidmat pesanan ringkas (SMS) sekitar Oktober tahun lalu.

Menurut Peng Chew, 38, pada 21 Oktober tahun itu, 10 panggilan pertama dibuat oleh Abdul Razak melalui nombor telefon 012-2132303 ke nombor telefon 019-3636153 milik Azilah.

Katanya, panggilan itu dibuat mulai pukul 12.22 tengah malam hingga pukul 12.52 tengah malam dan ia mengambil masa 30 saat.

Beliau berkata, kira-kira sejam kemudian Abdul Razak membuat dua panggilan lagi kepada Azilah iaitu pada pukul 1.29 pagi selama dua minit diikuti pada pukul 1.43 pagi selama satu setengah minit.

Sehari sebelum itu, katanya, iaitu pada 20 Oktober 2006, Azilah, tertuduh pertama dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia itu ada menghubungi Abdul Razak selama 32 saat pada pukul 10.41 pagi.

Peng Chew yang memberi keterangan dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, berkata pada malam kehilangan wanita itu 19 Oktober tahun lalu, Abdul Razak membuat lima panggilan ke telefon Azilah.

Menurut beliau, panggilan itu dibuat mulai pukul 8.36 malam 30 saat, 8.41 malam (30 saat), 8.54 malam (30), 8.55 malam (60) dan 9.08 malam (30).

Abdul Razak juga, kata saksi pendakwa ke-55 itu, melalui satu lagi nombor telefonnya 012-9042042 ada menghantar satu SMS pada pukul 7.01 malam kepada Azilah pada hari tersebut.

Pada hari sama, katanya, Azilah membuat lima panggilan telefon kepada nombor telefon 2303 (empat nombor digit terakhir) milik Abdul Razak bermula pada pukul 7.57 malam selama satu minit 44 saat diikuti pada pukul 8.54 malam (23 saat), 8.55 malam (tiga saat) dan 9.41 malam (41 saat).

Satu lagi panggilan dibuat kepada satu lagi nombor telefon kepunyaan Razak, 2042 pada 7.02 malam selama 41 saat, ujar beliau.

Dalam keterangannya, Peng Chew memberitahu, Azilah mula berkomunikasi dengan tertuduh ketiga itu pada 14 Oktober melalui panggilan telefon selama tiga minit 36 saat.

Selepas 21 Oktober, katanya, Azilah hanya menghubungi Abdul Razak melalui telefon pada 7.06 malam, 30 Oktober dan mereka berbual selama seminit 51 saat.

Abdul Razak pula, menurut saksi itu, banyak menghantar SMS kepada Azilah selepas 21 Oktober iaitu tiga SMS 22 Oktober, masing-masing satu SMS 23, 25 dan 20 Oktober serta enam SMS dan dua panggilan telefon pada 28 Oktober.

Penganalisis politik itu juga, kata Peng Chew, dikesan ada menghantar dua SMS kepada Azilah pada 7 November tahun lalu iaitu selepas tertuduh pertama itu ditangkap oleh pihak polis pada 1 November.

Beliau juga memberitahu, Altantuya melalui nombor telefonnya 017 3992411 turut menghantar SMS tiga kali kepada Abdul Razak pada 9 Oktober tahun lalu.

Pada penghujung perbicaraan hari ini, Noorin meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan sehingga Isnin ini untuk meringkaskan keterangan saksi itu memandangkan ia melibatkan banyak nombor dan tempoh masa dirujuk pada rekod transaksi nombor telefon setebal 224 muka surat.

Noorin juga sebelum itu meminta prosiding rehat seketika selepas kira-kira sejam berjalan pada sesi petang bagi `merehatkan mata' atas alasan yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin bersambung Isnin ini.

0 comments: