Siti Salmah sudah boleh duduk

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Siti Salmah Jasni yang menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak pada 2 November lalu hari ini dilaporkan sudah boleh duduk di katil walaupun masih memerlukan bantuan mesin dan tiub pernafasan.

Pelajar tingkatan enam bawah itu juga difahamkan masih keliru dan cuba mencari jawapan kepada apa yang telah berlaku kepada dirinya setelah hampir dua minggu kritikal.

Utusan Malaysia diberitahu, kesihatan Siti Salmah juga semakin baik minggu ini walaupun masih berada di dalam bilik kaca di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara (IJN).

‘‘Dia (Siti Salmah) sedar dan duduk semalam. Matanya bergenang seperti cuba mengingat kembali apa yang telah terjadi kepadanya sejak awal bulan ini.

‘‘Semangatnya terlalu tinggi. Kita tahu dia akan beransur pulih selepas melihat perubahan positif yang diberikannya minggu ini,” kata sumber itu ketika ditemui di sini hari ini.

Utusan Malaysia yang memetik sumber IJN hari ini melaporkan bahawa Siti Salmah, 18, menunjukkan perkembangan positif dan cuba melemparkan senyuman walaupun tiub bantuan pernafasan masih berselirat di badannya.

Menurut sumber itu, kesihatan gadis berkenaan semakin baik sejak dua hari lalu walaupun dia masih di bawah kawalan ubat pelali dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), IJN.

Tambah sumber itu, kumpulan pembedahan yang merawatnya juga sudah mula melakar senyum selepas melihat perubahan demi perubahan yang ditunjukkan oleh penerima jantung dan paru-paru serentak di IJN itu.

‘‘Dia menunjukkan perubahan positif. Tetapi perkembangannya masih perlu dipantau dan perlu mendapatkan rawatan lagi di ICU.

‘‘Ubat pelali masih diberi. Tetapi berdoalah untuk kesihatan Siti Salmah,” ujarnya.

Siti Salmah menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru awal bulan ini selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah bersetuju mendermakan semua organ dan tisu badan wanita berkenaan.

Namun, nasib Siti Salmah tidak seperti Hui Yee yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan memberangsangkan, malah mencatatkan keputusan gred 1 A iaitu hampir tiada penolakan langsung pada sistem badannya dalam ujian biopsi selepas seminggu dibedah.

0 comments: