Tiada komisen beli alat pertahanan

KERAJAAN tidak pernah mengambil sebarang komisen daripada urusan pembelian kelengkapan pertahanan, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin.

Katanya, sistem pembelian harta kerajaan adalah berdasarkan peraturan diluluskan, iaitu bermula dengan cadangan kementerian dan diputuskan oleh Kabinet pada peringkat akhir.

"Saya percaya kerajaan tidak pernah mengambil komisen daripada sebarang pembelian ini. Tetapi dalam pembelian, biasanya kerajaan mengambil sikap membuat pertukaran.

"Contohnya bila kita membeli kelengkapan pertahanan dari sesebuah negara luar, negara itu akan membeli sesuatu daripada Malaysia atau memberi faedah lain seperti latihan," katanya ketika menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras).

Menjawab soalan asal Tan mengenai kemalangan udara membabitkan helikopter dan jet pejuang, Zainal Abidin berkata, sejumlah 61 kemalangan membabitkan helikopter dan jet pejuang berlaku sejak 50 tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 15 adalah pesawat Nuri, tujuh helikopter Alouette, 24 pesawat pejuang, empat pesawat pengangkutan dan 11 pesawat latihan PC-7.

"Sejak lima tahun lalu pampasan yang dibayar kerajaan kepada waris mangsa berjumlah RM180 juta iaitu bayaran Tabung Amanah Perwira Negara (PAPPN) dan bayaran ex-gratia. Kemalangan berkenaan membabitkan kos kerugian berjumlah RM251 juta," katanya.

Menjawab soalan Lau Yeng Peng (BN-Puchong) yang mencadangkan supaya kerajaan menggantikan model pesawat yang pernah terbabit dengan kemalangan, Zainal Abidin berkata perkara itu perlu diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Namun dalam hal ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai kepakaran menentukan setiap jentera boleh dibaik pulih atau tidak.

“Jika kos membaik pulih menelan belanja yang besar atau tidak ekonomik, kita tidak akan membaik pulihnya.

"Ia juga bergantung sama ada pengeluar jentera itu masih mengeluarkan alat ganti yang mencukupi dan sesuai atau tidak," katanya.

Beliau berkata, adalah tidak wajar setiap kali berlaku kemalangan udara, jenis pesawat itu perlu ditukar dengan jenis baru kerana faktor menamatkan perkhidmatan pesawat udara adalah berpandukan kepada jumlah jam penerbangan, bukannya usia pesawat.

0 comments: