Ketua Menteri nafi jambatan retak serius

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, menafikan Jambatan Pulau Pinang mengalami keretakan serius sehingga memaksa kerajaan negeri mengeluarkan arahan tidak membenarkan kenderaan berat melaluinya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak mengenai status struktur jambatan itu yang dikatakan berbahaya berikutan kerja pelebaran yang sedang dijalankan.

"Kami tidak terima sebarang laporan atau diberitahu mengenai keretakan. Kalau membabitkan struktur jambatan, ia suatu kecemasan dan kita mesti diberitahu segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) kononnya berlaku keretakan serius di jambatan berkenaan.

Jasmin ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Pembangunan 2008 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, berkata keretakan jambatan berkenaan perlu diatasi segera kerana jambatan kedua masih dalam pembinaan.

Sementara itu, Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB), dalam satu kenyataan memaklumkan Jambatan Pulau Pinang akan ditutup 30 minit, mulai jam 2.30 pagi esok bagi kerja mengalih galang di atas jambatan berkenaan.

0 comments: