Proton henti rundingan

Oleh Azli Ayob

Pakatan strategik GM, Volkswagen ditamat kerana prestasi positif

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd membuat keputusan menghentikan rundingan dengan General Motors Corporations (GM) dan Volkswagen AG berhubung cadangan mengadakan pakatan strategik dengan Proton Holdings Bhd.

Khazanah dalam satu kenyataan ringkas semalam, menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkembangan positif yang berlaku dalam Proton sejak kebelakangan ini, terutama pemulihan jualan di pasaran domestik dan eksport.


"Justeru, kerajaan berpendapat pihak pengurusan Proton perlu dibenarkan meneruskan rancangannya mengukuhkan lagi syarikat itu. Soal pakatan strategik itu, jika perlu, boleh dipertimbangkan pada lain masa," katanya.

Dalam kenyataan itu, Khazanah yang memegang 43 peratus kepentingan dalam Proton, merakamkan penghargaan kepada Volkswagen dan General Motors di atas komitmen dan sikap profesional kedua-dua syarikat berkenaan sepanjang rundingan berlangsung.

Rundingan awal antara Volkswagen dan Proton pernah menemui jalan buntu pada Januari tahun lalu kerana kedua-dua syarikat itu gagal mencapai persetujuan berhubung beberapa isu termasuk soal kepentingan kawalan dalam syarikat pengeluar kereta nasional itu.


September lalu, Volkswagen berkata, syarikat gergasi automotif itu akan mengukuhkan lagi rundingannya dengan kerajaan Malaysia, yang juga pemegang saham utama dalam Proton dengan hasrat mewujudkan usaha sama atau pegangan saham dalam syarikat pembuat kenderaan itu.

Kerajaan pula berkata, penyusunan semula Proton dijangka diselesaikan akhir tahun ini.

Proton diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1983 sebagai asas membangunkan industri perkilangan berat di negara ini. Pengeluar kereta nasional itu mengeluarkan model sulungnya, Proton Saga pada Julai 1985.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, memberi jaminan kerajaan tidak akan menaikkan duti import ke atas kereta penumpang asing walaupun Proton dibenarkan beroperasi secara bersendirian tanpa rakan kongsi strategik asing buat masa ini.

Sambil menyatakan kerajaan tidak akan mengambil tindakan sedemikian untuk membantu Proton, Nor Mohamed dalam satu taklimat di Putrajaya semalam, berkata: "Pengguna mesti diberi pilihan."

Mengenai reaksi Volkswagen terhadap langkah kerajaan untuk membenarkan Proton beroperasi secara sendirian, beliau berkata, pengeluar kereta Jerman itu sememangnya kecewa tetapi menghormati keputusan berkenaan.

Beliau berkata, Volkswagen tidak meninggalkan perundingan berkenaan atau berlaku sebarang kegagalan dalam perundingan.

Katanya, laporan awal yang membayangkan kedua-dua pihak sudah menghampiri untuk menandatangani satu perjanjian perkongsian hanya spekulasi yang mendahului perkembangan sebenar.

Sambil menjelaskan asas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Automotif Nasional (NAP) untuk membenarkan Proton beroperasi bersendirian, Nor Mohamed berkata, perkembangan mengenai prestasi Proton yang semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini adalah benar.

Sehubungan itu, katanya, andaian awal yang menyatakan Proton perlu mempunyai satu rakan asing untuk memastikannya kukuh, tidak boleh diterima lagi.

"Keadaannya sudah berubah," katanya, sambil menyatakan bahawa kerajaan perlu mengambil sikap pragmatik apabila menimbangkan keadaan yang lebih meluas lagi.

Dengan mengambil kira perkembangan itu dan transformasi di Proton, Nor Mohamed berkata, masa bagi menjalin perkongsian dengan sebuah rakan asing ketika ini tiada keperluan lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak akan menolak kemungkinan Proton menjalin ikatan strategik dengan rakan asing pada masa depan apabila keadaan lebih sesuai dan membolehkan Proton menyertai perundingan dalam kedudukan lebih teguh.

Nor Mohamed berkata, keputusan terbaru kerajaan itu berasaskan penambahbaikan dan angka jualan yang kukuh di Proton, terutama Persona yang mencatat tempahan kira-kira 22,000 unit menjelang akhir Oktober selepas dilancarkan pada pertengahan Ogos.

Kerajaan juga yakin daripada peningkatan keyakinan pengguna terhadap kereta Proton yang kualitinya bertambah baik sejak kebelakangan ini melalui pemeriksaan kawalan kualiti yang lebih ketat.

Satu kajian pendapat yang khusus menunjukkan Indeks Kepuasan Pengguna Proton meningkat kepada 713 mata daripada 677 mata pada tahun lalu.

Kerajaan juga mendapat galakan daripada usaha sama di seberang laut dan jualan Proton di Iran, China dan Indonesia serta peluasan yang bakal dilaksanakan ke Thailand.

Baru-baru ini, Proton mendapat satu urus niaga untuk mengeksport 5,000 unit Proton Waja ke Iran dan pelan sedang dilaksanakan untuk memasang 40,000 unit Proton Waja setahun di negara itu menjelang 2012.

Bagi pasaran China, ia akan mula mengeksport 30,000 unit Gen2 mulai bulan ini dan ada juga rancangan untuk mengeluarkan 80,000 unit Gen2 di negara itu menjelang 2012 dalam urus niaga bernilai RM4 bilion.

Proton juga sedang berusaha mengeluarkan dua model baru bagi pasaran China melalui kerjasama dengan anak syarikat kereta 'sport' Britishnya, Lotus. Di Indonesia, tinjauan jualan bagi Wira juga cerah.

Nor Mohamed berkata, Proton kini mensasarkan untuk menguasai agihan pasaran 40 hingga 50 peratus pasaran automobil tempatan daripada 31 peratus sekarang melalui pengenalan model baru.

Satu model bagi menggantikan Saga dijangka dilancarkan pada Januari depan, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) juga sedang diusahakan bagi pelancaran dalam Januari 2009.

Nor Mohamed berkata, Proton turut diminta menggunakan lebih banyak kepakaran teknologi pengeluaran kenderaan di Lotus mulai sekarang.

Proton, katanya, yang mengalami kerugian RM591 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2007, dijangka mencatat kerugian kecil dalam tahun semasa.

Bagaimanapun, katanya, tinjauan jangka sederhana dan panjang adalah baik ekoran penambahbaikan keseluruhan yang dilaksanakan pengurusan dan kakitangan Proton.

Ini termasuk mengecilkan jaringan peniaganya kepada 250 menjelang Disember 2008 daripada 362 dalam Mac 2006.

INFO: Proton kembali kukuh

  • Jualan semakin meningkat dengan model terbaru, Persona mencatatkan tempahan kira-kira 22,000 unit dalam hanya dua bulan.
  • Peningkatan keyakinan pengguna terhadap Proton berlaku kerana mutunya bertambah baik hasil program kawalan kualiti ketat.
  • Kajian mendapati Indeks Kepuasan Pengguna Proton meningkat kepada 713 mata berbanding 677 mata tahun lalu.
  • Usaha mewujudkan usaha sama di luar negara memberi maklum balas positif manakala jualan juga baik di Iran, China dan Indonesia serta mungkin ke Thailand.
  • Proton berjaya mendapat urus niaga mengeksport 5,000 unit Waja ke Iran dan pelan sedang dilaksanakan untuk memasang 40,000 unit model sama di negara itu menjelang 2012.
  • Sejumlah 30,000 unit GEN.2 akan mulai dieksport ke China bulan ini dan rancangan mengeluarkan 80,000 unit model itu di sana menjelang 2012.
  • Proton mensasarkan menguasai 40 hingga 50 peratus pasaran kereta tempatan daripada 31 peratus yang sedia ada.

0 comments: