|
|
BUTTERWORTH 20 Nov. – Seorang ibu yang tidak sanggup lagi melihat penderitaan anaknya Muhammad Alif Syahizan, 2, penghidap penyakit saluran jantung tersumbat, hari ini merayu orang ramai menghulurkan bantuan bagi membiayai kos pembedahan kanak-kanak itu.
Ini kerana, suri rumah itu, Rokiah Awang dan suaminya, Syahizan Awang Kechik, 30, bukan sahaja tidak mampu untuk membiayai kos pembedahan sebanyak RM20,000 malah tarikh untuk pendaftaran pembedahan juga semakin suntuk iaitu pada 12 Disember ini.
Rokiah memberitahu, keadaan kesihatan anaknya semakin kronik apabila sering berubah menjadi pucat manakala wajah, tangan serta kakinya bertukar kebiru-biruan akibat masalah itu.
‘‘Keadaannya semakin kritikal. Muhammad Alif mesti mengalami demam beberapa hari setiap bulan dan setiap hari pula anggota badannya mesti menjadi biru beberapa ketika akibat masalah itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rokiah dari Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah berkata, anak tunggalnya itu juga sering menangis menahan kesakitan di bahagian jantung terutama pada waktu malam dan mengalami sawan sekiranya banyak bergerak atau aktif bermain.
Menurutnya, doktor yang merawat Muhammad Alif di Institut Jantung Negara (IJN) memberitahu kanak-kanak itu perlu dibedah segera bagi menyelamatkan nyawanya.
Jelasnya, ini kerana tiub saluran darah pada jantung yang dipasang pada pembedahan pertama semasa kanak-kanak itu berusia dua bulan kini perlu diganti baru.
‘‘Pembedahan pertama melibatkan kos sebanyak RM18,000 dan ia ditanggung oleh kami sendiri tetapi tiub lama itu sudah tidak sesuai lagi dipakai kerana sudah berusia dua tahun,” jelasnya.
Dia memberitahu, anaknya yang dilahirkan dengan penyakit tersebut dijadual dibedah lagi ketika mencapai berat 10 kilogram pada masa akan datang.
Syahizan yang bekerja sebagai pesawah dengan pendapatan di antara RM500 hingga RM600 sebulan berkata, dia tidak mampu menanggung kos pembedahan tersebut.
Justeru, beliau merayu sumbangan orang ramai untuk membiayai kos pembedahan itu kerana tiub tersebut kini semakin sempit pada bahagian sekitar jantung.
‘‘Kami sangat terdesak sekarang kerana tarikh 12 Disember semakin hampir tetapi pada waktu ini, kami tiada wang langsung,” katanya yang terpaksa membawa anaknya ke IJN Kuala Lumpur setiap enam bulan sekali bagi rawatan susulan.
Justeru, dia merayu orang ramai yang prihatin dan berhasrat untuk menderma bagi tujuan tersebut supaya menghubunginya di talian 019-4473924 atau 019-5615012.
Disebabkan masa semakin suntuk, katanya, orang ramai dirayu menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank milik Rokiah bernombor 152059102617 bagi tujuan tersebut.
0 comments:
Post a Comment