Oleh Kamudin Baharom
KAPTEN Perlis, Yusri Che Lah menyifatkan kejayaan mengutip satu mata selepas mengikat Kedah, 0-0 pada perlawanan pertama Liga Super di gelanggang keramat pasukan tuan rumah, Stadium Darulaman, Alor Setar, Ahad lalu, sebagai satu permulaan baik.
Malah, bagi bekas pemain tengah skuad kebangsaan itu, kejayaan memenangi Piala Sultan Ahmad Shah menerusi penentuan sepakan penalti, 5-4 selepas aksi perlawanan berkenaan cukup membanggakan.
Berikutan kejayaan itu, skuad Singa Utara itu bukan saja berkongsi satu mata dengan Kedah bagi saingan Liga Super tetapi lebih penting mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah itu bagi kali kedua berturut-turut.
"Sungguhpun kami tidak dapat beraksi dengan baik, semangat dan kesungguhan tinggi yang dipamerkan rakan sepasukan sepanjang 90 minit perlawanan itu tidak dapat dinafikan.
"Saya bangga dan berpuas hati. Mereka melakukan segalanya khususnya benteng pertahanan bagi mengawal ketat jentera serangannya lawan khususnya Marlon Alex James daripada membolosi gawang," katanya.
Yusri yang pernah beraksi bersama Selangor beberapa musim lalu sebelum menyarung jersi Perak, musim lalu berkata, berbanding lawan yang membariskan hampir 100 peratus pemain yang menjulang tiga piala musim lalu, Perlis dibarisi gabungan tenaga lama dan baru musim ini.
0 comments:
Post a Comment