Kes bunuh Altantuya: 'Razak hubungi Azilah 20 kali'

Oleh Norhashimah Mohd Radzali

Tertuduh dikesan menghantar SMS pada hari kejadian: Saksi

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam diberitahu tertuduh ketiga, Abdul Razak Abdullah Baginda menghubungi telefon bimbit tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri sebanyak 20 kali bermula pada malam wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu dilaporkan hilang, sehingga 30 Oktober tahun lalu.

Jurutera Bahagian Bil dan Perkhidmatan Maklumat di Maxis, Goh Peng Chew, 38, berkata nombor telefon bimbit milik penganalisis politik itu juga dikesan ada menghantar 14 SMS kepada Azilah dalam tempoh itu.


Goh berkata, Abdul Razak juga menghantar dua SMS kepada Azilah pada 7 November tahun lalu. (Berdasarkan keterangan saksi ke-23 sebelum ini, Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin pada ketika itu Azilah sudah ditahan polis sebaik dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 1 November 2006.)

Saksi ke-55 pihak pendakwaan itu berkata, Azilah pula dikesan membuat tujuh panggilan telefon kepada Abdul Razak dalam tempoh sama,

Goh berkata, pada 21 Oktober tahun lalu, Abdul Razak membuat 10 panggilan kepada Azilah antara jam 12.22 dan 12.52 tengah malam serta semua panggilan yang dibuat itu mengambil masa selama 30 saat.


Katanya, Abdul Razak juga dikesan membuat dua panggilan kepada telefon bimbit Azilah pada jam 1.29 dan 1.43 pagi hari sama serta mengambil masa kira-kira empat minit untuk berbual dengan pegawai polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK) itu.

Goh memberikan keterangannya pada perbicaraan kes pembunuhan Altantuya yang masuk hari ke-60 semalam, ketika dikemukakan log Maxis yang mengandungi transaksi rekod panggilan telefon dan SMS setebal 224 muka surat.

Beliau berkata, log itu dicetaknya selepas diarahkan polis untuk mendapatkan semua maklumat daripada sistem pangkalan data Maxis dengan merujuk nombor telefon bimbit semua tertuduh dan sembilan individu lain yang berkaitan dengan kes itu.

Katanya, beliau tidak mengetahui siapa pemilik nombor telefon berkenaan ketika mencetak rekod transaksi itu.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin berhubung panggilan telefon atau SMS yang dibuat pada tarikh Altantuya dilaporkan hilang iaitu 19 Oktober tahun lalu, Goh berkata, pada hari berkenaan Abdul Razak ada menghantar SMS kepada Azilah pada jam 7.01 petang.

Goh berkata, Azilah kemudian membuat panggilan telefon kepada Abdul Razak pada jam 7.02 petang dan berbual selama 41 saat dengannya.

Beliau berkata, Azilah juga membuat empat lagi panggilan telefon selepas itu kepada Abdul Razak antara jam 7.57 petang dan 9.41 malam, manakala Abdul Razak pula dikesan menelefon Azilah sebanyak lima kali antara jam 8.36 dan 9.08 malam.

Katanya, pada keesokan harinya, Azilah ada menelefon Abdul Razak pada jam 10.41 pagi dan berbual selama 30 saat dengannya.

Terdahulu, Goh memberitahu mahkamah Altantuya ada menghantar tiga SMS kepada Abdul Razak pada 9 Oktober tahun lalu, manakala Azilah dan Abdul Razak mula menghubungi satu sama lain bermula 14 Oktober 2006.

Goh berkata, pada 18 Oktober tahun lalu, Azilah menelefon Abdul Razak sebanyak tujuh kali dan Abdul Razak pula membuat lapan panggilan telefon serta menghantar tujuh SMS kepada Azilah pada tarikh itu.

Sementara itu, saksi ke-54 pihak pendakwaan, juruanalisis forensik digital di Cyber Security Malaysia (Niser), Razana Md Salleh, 29, berkata beliau melakukan pemeriksaan sebanyak dua kali terhadap 11 telefon bimbit yang diterimanya daripada polis.

Razana berkata, beliau mendapati tiada sebarang perubahan maklumat dikesan daripada rekod SMS atau panggilan dalam kad sim dan telefon bimbit itu.

Menjawab soalan peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, Razana berkata, data di dalam kad sim tidak mungkin dapat diubah dengan menggunakan perisian Simkon.

Beliau berkata, perisian Simkon digunakan Niser ketika melakukan pemetaan data iaitu dengan mengeluarkan data daripada telefon bimbit atau kad sim dengan merujuk log panggilan telefon dan SMS yang dibekalkan syarikat telekomunikasi.

"Perisian Simkon yang digunakan ini tidak boleh didapati secara komersial dan tidak dijual di luar (pasar raya)," katanya.

Razana berkata, selain Simkon, ada perisian lain yang boleh didapati secara komersial dan boleh digunakan untuk membuat pemetaan data.

Ahmad Zaidi: "Setuju, disebabkan terdapat perisian lain yang boleh didapati secara komersial dan Niser sendiri tidak pernah diakreditasikan sebagai pakar dalam bidang ini, jadi sebenarnya Niser tidak diperlukan dalam melakukan pemetaan data ini dan sesiapa saja boleh melakukannya?"

Razana: "Tidak setuju."

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung 26 November ini.

0 comments: