Pasangan warga emas jaga 6 cucu yatim piatu

PERMAISURI: Pasangan suami isteri bertekad menjaga enam cucu berusia antara tiga dan 13 tahun yang kematian ibu bapa bulan lalu walaupun perlu menjaga anak sulung mereka yang menghidap sindrom down.

Enam beradik yatim piatu, Mimi Nur Arbaine Shairah Fauzan, 13; Mohd Alif Nor Ikhwan, 11; Mohd Aizat Lokman, 9; Mohd Hanif Farhan, 8; Mohd Akid Khuzairi, 7; dan Nor Amira Ayurin, 3; tinggal bersama pasangan warga emas itu di Kampung Telaga Papan, dekat sini.

Nenek kanak-kanak itu, Maimunah Abdullah, 63, berkata walaupun anak sulungnya yang juga kakak kepada bapa kanak-kanak itu, Sharifah, 44, boleh menguruskan diri sendiri secara ala kadar, tetapi tidak boleh membantu menguruskan keperluan cucunya.

Katanya, dia dan suaminya, Fauzi Jusoh, 72, yang hanya bekerja kampung dan menangkap ikan sebagai sumber pendapatan mereka sekeluarga tidak sanggup berpisah dengan cucu mereka.

"Cucu kami juga merayu supaya mereka adik beradik tidak dipisahkan sekiranya ada pihak yang mahu mengambil mereka sebagai anak angkat.

"Walau apa yang berlaku, saya dan suami akan terus menjaga mereka dan memastikan mereka memperoleh pendidikan sebaik mungkin," katanya yang ditemui di rumahnya, semalam.

Pasangan warga emas itu memiliki tiga anak dan bapa kanak-kanak itu, Fauzan, 37, adalah anak bongsu mereka.

Fauzan meninggal dunia selepas demam panas pada minggu kedua umat Islam berpuasa, manakala ibu kanak-kanak itu, Hasnah Che Nik, 34, meninggal pada hari raya keenam.

Maimunah berkata, sejak kematian anak dan menantunya, aktiviti ziarah kubur menjadi rutin harian enam cucunya.

Beliau bersyukur sejak kisah mereka disiarkan dalam Berita Minggu, ramai pihak tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

0 comments: