Piagam ASEAN dimeterai -- Satu detik sejarah ke arah rantau lebih gemilang – Abdullah

Daripada MARHAINI KAMARUDDIN


BERSATU... Barisan pemimpin ASEAN menunjukkan tanda kesepakatan dan kerjasama ketika bertemu pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13 di Singapura, semalam. Kesemua 10 pemimpin ASEAN termasuk Abdullah Ahmad Badawi hadir pada sidang kemuncak tersebut. – AP.

SINGAPURA 20 Nov. – Pemimpin-pemimpin anggota ASEAN hari ini menandatangani Piagam ASEAN yang memberikan kumpulan berusia 40 tahun itu satu landasan perundangan dan menjadi sebuah pertubuhan serantau yang lebih efektif dan kohesif.

Mereka termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menurunkan tandatangan pada dokumen setebal 40 muka surat itu di akhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13 di sini.

Kesepakatan untuk mewujudkan piagam itu adalah satu sejarah bagi perkumpulan 10 negara tersebut.

Piagam itu menggariskan prinsip-prinsip pegangan ASEAN, selain bagi menubuhkan sebuah badan hak asasi manusia, mengukuhkan Sekretariat ASEAN di Jakarta serta menetapkan kriteria kemasukan anggota baru dan bagi menyelesaikan pertikaian.

Menerusi piagam itu juga, ASEAN buat pertama kali menggariskan landasan untuk memberi perlindungan kepada alam sekitar dan mewujudkan blok ekonomi bebas di rantau itu.

Abdullah semasa mengulas mengenai piagam itu pada sidang akhbarnya, melahirkan keyakinan kesepakatan kesemua negara anggota untuk menandatangani Piagam ASEAN akan menjadikan wilayah tersebut sebagai sebuah rantau yang berkembang pesat dan lebih dinamik.

Menurut Perdana Menteri, pemeteraian tandatangan pada piagam itu sebenarnya adalah satu detik sejarah kepada ASEAN bagi merintis langkah ke hadapan yang lebih besar dan gemilang.

Dengan adanya piagam ini, jelas beliau, hubungan antara negara ASEAN akan menjadi lebih erat dan pelaksanaan apa juga program mampu dilakukan dengan lebih berkesan, terutamanya membabitkan soal penguatkuasaan peraturan secara terperinci.

‘‘Sebenarnya semua pihak berkongsi sentimen yang gembira dengan pewujudan piagam ini.

“Ia akan menjadikan ASEAN sebagai satu wilayah yang lebih bersepadu dengan keupayaan yang lebih besar serta berupaya meningkatkan daya saing terutamanya apabila ia menjadi sebuah wilayah besar dengan 570 juta penduduk,” katanya.

Menurut Perdana Menteri lagi, dengan wujudnya piagam tersebut, ASEAN akan dilihat sebagai satu entiti yang mempunyai kekuatan tersendiri.

‘‘Pada pandangan saya, rakan-rakan (dialog) ASEAN juga akan meningkatkan hubungan. Piagam ini dilihat akan membolehkan kerjasama dijalin dengan lebih erat dan saya percaya ASEAN akan menjadi lebih stabil tanpa sebarang perbalahan.

‘‘Saya juga yakin jika terdapat perselisihan, ia akan dapat diselesaikan dengan mudah,” jelas beliau.

Ditanya mengenai faedah yang boleh diperoleh melalui Deklarasi Kerangka Kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang turut ditandatangani oleh para pemimpin pertubuhan rantau itu hari ini, Perdana Menteri berkata, Malaysia boleh memperoleh manfaat secara langsung melalui projek-projek yang dilaksanakan di bawah program ASEAN.

Di bawah kerangka kerja itu, katanya, ia bukanlah satu masalah kepada Malaysia jika sesuatu projek dijalankan di negara anggota lain kerana negara masih boleh mendapat manfaat menerusi pelaburan asalkan pelaksanaannya dilakukan secara teratur.

Selain Piagam ASEAN dan Deklarasi Kerangka Kerja AEC, dua dokumen penting lain yang ditandatangani oleh ketua-ketua negara anggota hari ini ialah Deklarasi ASEAN mengenai Alam Sekitar Mapan dan Deklarasi ASEAN mengenai Perubahan Iklim.

– Utusan

0 comments: