Sistem rekod kehadiran pelajar guna MyKad diperkenalkan

PORT DICKSON 20 Nov. – Perkhidmatan SMS Sekolah yang dibangunkan oleh Mypressto.com Sdn. Bhd. yang antaranya berperanan mengekang masalah disiplin pelajar, kini dilengkapi ciri tambahan iaitu merekodkan kehadiran menggunakan MyKad.

Ini bermakna, pelajar hanya perlu menyentuh MyKad pada mesin pengimbas sejurus tiba di sekolah bagi membolehkan ibu bapa yang melanggan perkhidmatan itu dengan bayaran RM3 sebulan mengetahui status kehadiran anak mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ketua Pegawai Operasi Mypressto.com, Junairi Jauhari berkata, pelajar terbabit juga perlu mengimbas MyKad masing-masing apabila pulang dari sekolah dan ibu bapa mereka pula akan menerima makluman SMS mengenai perkara itu.

Katanya, ia juga mengurangkan beban guru yang terpaksa menanda kehadiran murid dalam perisian program SMS Sekolah dan juga buku kehadiran.

“Ini merupakan penambahbaikan khidmat SMS Sekolah yang kini digunakan oleh 1,700 buah sekolah di seluruh negara, ciri-ciri tambahan akan diperkenalkan pada setiap masa selari dengan perkembangan pesat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

“Sebagai permulaan, sebanyak 10 buah sekolah di seluruh negara akan dilengkapi dengan sistem ini, kita akan tempatkan empat buah mesin pengimbas yang dipantau kamera litar tertutup (CCTV) pada setiap sekolah,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pada sesi penerangan mengenai ciri terbaru SMS Sekolah kepada wakil-wakil Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai ICT Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jasin, Melaka, Mohamad Sani Bidin berkata, SMS Sekolah mempunyai kelebihan tersendiri selain berperanan mengawal disiplin pelajar.

Katanya, perkhidmatan itu yang mempunyai 14,000 pengguna di Jasin juga dijadikan sebagai medium mewujudkan suasana mesra antara sekolah, ibu bapa dan pelajar.

“Contohnya, apabila kita tahu seorang pelajar tidak hadir kerana tidak sihat, kita hantar SMS menasihatkan mereka ke klinik serta mendoakan mereka cepat sembuh.

“Melalui mesej sedemikian, kita dapat mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar,” katanya.

Pegawai Khas ICT PPD Kuala Muda Yan, Kedah, Ghazali Hassan pula berkata, perkhidmatan tersebut telah banyak membantu pihaknya berhubung dengan 160 buah sekolah dalam kawasan pentadbirannya.

Katanya, semua arahan terbaru yang diterima dari Kementerian Pelajaran melalui JPN dapat disebarkan dengan pantas kepada warga pendidik menerusi SMS.

0 comments: