PP, selatan Kedah bergelap

Oleh HAIRULAZIM MAHMUD

BUTTERWORTH 20 Nov. – Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang dan selatan Kedah terputus bekalan elektrik petang ini ekoran talian voltan tinggi 275 kiloVoltan (kV) di sebuah pencawang dekat sini, terpelantik.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.20 petang itu turut menyebabkan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang sedang menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh wakil pembangkang mengenai Penang Global City Centre pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa menangguhkan ucapannya.

Sidang DUN turut ditangguhkan sehingga sejam berikutan bekalan elektrik belum dapat dipulihkan.

Sementara itu, menurut Ketua Komunikasi Luar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sidek Kamiso, kejadian yang berlaku di pencawang Juru itu mengakibatkan kira-kira 80 peratus kawasan di Pulau Pinang dan selatan Kedah mengalami gangguan bekalan elektrik.

Bagaimanapun, katanya, TNB dapat mengatasi masalah berkenaan kira-kira sejam kemudian selepas sepasukan juruteranya dikejarkan ke pencawang terbabit.

“Kira-kira pukul 4.15 petang, sebanyak 90 peratus kawasan terbabit dapat dipulihkan bekalan dan TNB memohon maaf ekoran gangguan berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

0 comments: