Sistem pilihan raya Malaysia telus, adil: PM

Oleh Mutazar Abdul Ghani dan Johan Afendi di Singapura

SINGAPURA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menolak dakwaan kononnya kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihan raya umum sudah dirancang, sebaliknya mandat itu diputuskan rakyat menerusi sistem pilihan raya yang telus dan adil.

Perdana Menteri menegaskan sejak sekian lama sistem berkenaan dijalankan dengan adil dan bersih tanpa campur tangan parti pemerintah.

Katanya, pengundi bebas mengundi dan mereka juga menentukan parti yang akan membentuk kerajaan.

"Sebagai ketua kerajaan dan Pengerusi BN, saya tentu mahu kemenangan yang dicapai dalam pilihan raya adalah berwibawa dan ditentukan rakyat yang mengundi," katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-13 di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang mencabar pembangkang menunjukkan bukti bahawa pilihan raya di Malaysia tidak bebas.

Abdul Rashid yang sedia meletakkan jawatan jika dakwaan itu berjaya dibuktikan berkata, beliau sedih tuduhan terhadap SPR, terutama ketika perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 10 November lalu.

Abdullah berkata, sistem pilihan raya di Malaysia membolehkan rakyat yang layak, mendaftar sebagai pengundi dan mereka berhak untuk mengundi ketika pilihan raya.

"Ertinya rakyat bebas untuk menentukan... jadi itu kita payah nak faham yang kata kita tidak adil. Ini adalah pilihan raya yang ditentukan parti yang dikehendaki oleh rakyat. (Tapi) jika mereka tidak mahu mengundi dan mendaftar sebagai pengundi, apa kita boleh lakukan," katanya.

Beliau berkata, sudah banyak kali pembangkang menang dalam pilihan raya dan ini menunjukkan bahawa ia dijalankan dengan adil dan telus.

"Pada satu ketika, Gerakan menjadi parti pembangkang dan mereka menang di Pulau Pinang tetapi parti itu kemudian menyertai BN. Keadaan yang sama juga berlaku di Sabah apabila Parti Bersatu Sabah menang, dan kemudian menyertai BN.

"Kita juga pernah kalah di Terengganu pada 1999, tetapi kemudian Pas kalah di negeri itu pada 2004. Ini semua membuktikan bahawa rakyat bebas untuk menentukan parti yang mereka mahu untuk memerintah.

"Saya tidak faham mengapa kerajaan sering dituduh pilihan raya tidak adil, sedangkan pembangkang juga menang pilihan raya," katanya.

0 comments: