Daripada Mutazar Abd Ghani dan Johan Afendi
PERJANJIAN DIMETERAI: Abdullah dan Arroyo antara 10 ketua negara menandatangani dokumen Piagam Asean sambil diperhatikan Lee (kanan), di Singapura, semalam. |
Pemeteraian rancakkan pertumbuhan ekonomi negara anggota
SINGAPURA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan pemeteraian Piagam Asean oleh pemimpin pertubuhan serantau itu semalam bukan saja satu sejarah kepada Asean, malah langkah yang jauh lebih besar ke arah menjadikannya entiti yang memiliki kekuatan dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri berkata, dengan adanya piagam itu, ia bakal menjadikan Asean satu wilayah yang bersatu padu kerana setiap negara anggota akan bekerjasama lebih erat, sekali gus menawarkan keupayaan lebih besar untuk mencapai pertumbuhan serta berdaya saing terutama dalam bidang ekonomi.
Kewujudan piagam itu akan membolehkan potensi yang ada dalam pasaran Asean dibangunkan dengan lebih mudah, manakala rakan dialog Asean akan lebih yakin lagi untuk meningkatkan hubungan mereka dengan negara anggota.
"Ia secara langsung menjadikan Asean lebih berdaya saing terutama dengan adanya pasaran yang besar dengan lebih 570 juta penduduk. Dengan itu juga Asean akan dapat dilihat sebagai entiti yang ada kekuatan...
"Bila sudah ada piagam ini, masing-masing negara anggota akan lebih erat bekerjasama, sekali gus menjadikan Asean sebagai kawasan lebih stabil. Kita harap nanti tidak ada perkara yang membawa kepada perbalahan dan kalau ada masalah, kita harap ia juga mudah diselesaikan.
"Ini adalah antara fakta yang boleh jadikan rantau Asean sebagai satu kawasan yang mencatat pertumbuhan ekonomi lebih rancak dan membawa manfaat kepada seluruh rantau ini," katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini semalam.
Ditanya suasana ketika pemeteraian Piagam Asean itu, Abdullah yang berada dalam suasana ceria sepanjang sidang media semalam, berkata: "Suasananya begitu baik sekali."
Mengenai Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi Asean yang turut dimeterai pada sidang kemuncak kali ini, Perdana Menteri berkata, ia akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat pelaburan Malaysia berikutan wujudkan hubungan perdagangan yang lebih erat di kalangan negara anggota.
Katanya, rangka pelan itu juga bertujuan memastikan program yang dirancang di kalangan negara anggota disusun dengan baik dan seterusnya dilaksanakan dengan lebih kemas.
"Bukan soal masalah (pengenalan rangka pelan ekonomi), tapi kita mahu pastikan program itu teratur disusun dan cara-cara pelaksanaannya akan lebih kemas lagi, maklum sekarang kita satu entiti dan kita berpegang kuat terhadap prinsip mengikut peraturan yang telah ditentukan.
"Jadi, saya nampak kita dalam situasi baru, cara kita lebih teratur dan dengan itu, akan lebih pesat dengan ada rangka pelan itu," katanya.
0 comments:
Post a Comment