Bahasa Melayu dipertikai, peranan DBP dipersoal

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai peranan yang semakin mencabar apabila kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak difahami termasuk mempertikai fungsi dan peranan DBP itu sendiri.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaaffar berkata, ada pihak menimbulkan pelbagai isu mengenai bahasa Melayu yang dianggap seperti tidak mempunyai peranan dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Menurutnya, antara yang dipersoalkan ialah peranan DBP yang menunjukkan mereka tidak meyakini bahawa bangsa Melayu merupakan umat yang tersebar luas ke merata dunia.

“Malah terdapat kumpulan pemikir pendidikan, 99 peratus ahli-ahlinya tidak mempunyai kecintaan terhadap bahasa Melayu.

“Tetapi akhirnya mereka menyedari, malah tidak seorang pun yang setuju mengenai bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik kerana ia sepatutnya diajar dalam bahasa ibunda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kualiti DBP 2007 kali ke-16 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah, Kamarul Zaman Shaharuddin.

Pada majlis bertemakan `Kualiti Lestari Organisasi Bestari’, pelbagai acara diadakan termasuk pembacaan ikrar dan penyampaian hadiah bagi pelbagai kategori pertandingan dan pencapaian pengurusan kualiti.

Johan berkata, sebagai sebuah organisasi yang unik, DPB menghadapi cabaran paling besar iaitu memberikan nilai tambah dan meletakkan kedudukan bahasa dan sastera Melayu di arus perdana.

“Lebih-lebih lagi didapati minat dan pembacaan terhadap akhbar berbahasa Melayu dan majalah di kalangan bangsa Melayu sendiri semakin kurang.

“Kalau dahulu, pembaca sanggup menghabiskan masa selama dua jam untuk membaca akhbar tetapi pada hari ini kajian mendapati, jumlah itu menurun kepada hanya 20 minit sahaja dan ini menjadi satu fenomena yang menakutkan,” katanya.

DBP juga, kata Johan, mempunyai penerbitan majalah-majalah yang bermutu tinggi dan tidak tertakluk kepada soal pemantapan bahasa.

“Tetapi sayang, edaran majalah-majalah tersebut tidak mendapat sambutan di kalangan pembaca dan DBP perlu melakukan sesuatu agar penerbitan majalah itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat negara ini,” katanya.

Beliau juga meminta agar pintu DBP sentiasa terbuka untuk dikunjungi orang ramai terutama di Bahagian Jabatan Bahasa, Sastera dan Penerbitan.

“Ini sebagaimana yang pernah dilakukan dahulu dan kesannya tidak sahaja peranan DBP difahami tetapi menjadi medan untuk memperkukuhkan lagi soal bahasa dan sastera negara.

“Walau pun kita memahami soal keselamatan dalam bangunan namun usaha perlu dilakukan agar DBP sentiasa mendapat kunjungan orang ramai,” katanya.

Menurutnya lagi, berbanding kaum lain terutama Cina dan India di negara ini, mereka begitu mempertahankan soal bahasa, sastera, budaya dan kesenian masing-masing.

“Walaupun pementasan seni tidak mendapat promosi dan liputan meluas namun mereka tetap hadir sedangkan kita, mengadakan persembahan teater di sini (DBP) malah masuk secara percuma tetapi tiada sesiapa yang berminat untuk menontonnya,” katanya.

0 comments: