PUTRAJAYA 20 Nov. – Senarai ahli yang akan menganggotai Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman klip video yang dikatakan mengandungi perbualan seorang peguam terkemuka dengan seorang hakim kanan akan ditentukan pada mesyuarat Kabinet esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mesyuarat tersebut juga akan menentukan terma-terma rujukan suruhanjaya itu.
Bagaimanapun katanya, senarai ahli yang dilantik itu tidak akan diumumkan esok.
‘‘Kita akan bincang mengenai Suruhanjaya Diraja dalam mesyuarat Kabinet esok.
‘‘Kita juga akan bincang terma-terma rujukannya dan lepas itu kita tentukan pelantikan ahli-ahli yang bakal menganggotai suruhanjaya itu,” katanya kepada para pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-63 di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Jumaat lalu mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman klip video yang dikatakan mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka dan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, penubuhan suruhanjaya berkenaan difikirkan wajar berdasarkan laporan panel khas bebas yang menyiasat kesahihan klip video tersebut.
Panel khas bebas yang ditubuhkan pada 25 September lalu dianggotai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor; aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.
Mereka diberi tempoh kira-kira sebulan untuk menyiasat klip video itu dan telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan baru-baru ini.
Tiga menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad kemudiannya dilantik oleh Kabinet untuk meneliti laporan panel khas itu.
Saranan panel khas bebas itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu.
Klip video kontroversi yang kononnya memaparkan perbualan telefon seorang peguam yang membincangkan urusan pelantikan hakim akan menjadi isu utama pada Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) Badan Peguam Malaysia, Khamis ini.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan berkata, klip video itu menjadi kebimbangan ramai dan penghinaan serius terhadap kewibawaan dan kebebasan institusi kehakiman.
“Isu dan akibat yang timbul daripada klip video itu akan memberikan tamparan kepada pentadbiran badan kehakiman dan perundangan di negara ini.
“EGM akan menimbangkan semua isu berkaitan dengan keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan perlunya pembaharuan terhadap badan kehakiman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ambiga berkata, kebimbangan itu berikutan pendedahan K. V. Thirunama Karasu yang membuat dua laporan polis terhadap abangnya, peguam Datuk V. K. Lingam, atas dakwaan rasuah.
Pada EGM itu, katanya Majlis berharap membincangkan dan menyelesaikan cadangan terma bagi rujukan Suruhanjaya Siasatan Diraja, yang termasuk kuasa untuk menyiasat dan membuat cadangan bagi pembaharuan badan kehakiman.
Ambiga berkata, EGM juga akan membincangkan mengenai penubuhan badan kehakiman bebas dan suruhanjaya kenaikan pangkat.
Beliau juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat klip video kontroversi itu.
Beliau berharap kehadiran pada EGM yang akan berlangsung di Wisma MCA itu adalah memuaskan.
0 comments:
Post a Comment