Kedah tak rela gigit jari di Kuantan

Oleh Bashah Zainol Abidin

SELEPAS gagal mendapatkan Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan sumbangsih serta sekadar mengutip satu mata apabila seri dengan Perlis dalam Liga Super, skuad Hijau Kuning mahu memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong di Kuantan, malam ini.

Jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, pemainnya akan menentang Pahang dengan sasaran membawa pulang mata penuh ataupun sekurang-kurangnya satu mata.

"Saya yakin jika pemain dapat mempamerkan apa yang mereka tunjukkan ketika menentang Perlis, Ahad lalu, kami mampu membawa pulang mata dari Kuantan esok (malam ini)," katanya.

Azraai juga menjelaskan dia akan melakukan sedikit rombakan kerana mahu memberi peluang kepada pemain pertahanan kiri, Ronny Harun yang direhatkan sebelum ini akibat kecederaan pergelangan kaki kanannya.

Beliau berkata, skuadnya sudah melupakan kekalahan dalam perlawanan sumbangsih yang menyaksikan mereka tewas menerusi sepakan penalti.

"Saya sudah bersemuka dengan semua pemain dan mereka kini sudah dapat mengatasi kekecewaan Ahad lalu dan berjanji akan meningkatkan prestasi bagi memastikan tiga mata penuh milik mereka.

"Saya tahu bukan mudah menjinakkan Pahang yang berjaya mengatasi Pulau Pinang 2-0 di gelanggang lawan dan semangat mereka kini adalah tinggi. Ini pasti akan menyukarkan sedikit hasrat untuk mencapai matlamat kami," kata Azraai.

0 comments: