Kuota haji ditambah jika penduduk cecah 26 juta

KELANA JAYA 20 Nov. – Malaysia akan meminta penambahan kuota jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi sekiranya jumlah penduduk di negara ini meningkat melebihi 26 juta orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, kerajaan akan menunggu perangkaan terkini yang akan dikeluarkan hujung tahun untuk menentukan tindakan selanjutnya.

‘‘Kalau ada peningkatan dalam jumlah penduduk kita, kita boleh minta tambahan kuota,” katanya selepas majlis penyerahan akhbar Utusan Malaysia kepada 356 jemaah haji kumpulan ke-31 yang berlepas ke Mekah dari Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini hari ini.

Mengikut kaedah yang dipersetujui oleh kerajaan Arab Saudi dan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), kuota haji bagi sesebuah negara adalah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan jemaah haji supaya tidak membazir semasa membeli-belah sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelaksanaan ibadah haji.

Beliau berkata, walaupun pihak pengurusan Tabung Haji tidak mengehadkan pengeluaran wang untuk jemaah, namun ia bukan alasan untuk berbelanja sesuka hati.

‘‘Dari maklumat yang kita terima, perbelanjaan jemaah haji dari tahun ke tahun meningkat hingga menjangkau jutaan ringgit.

0 comments: