Pulau Pinang, selatan Kedah putus elektrik



TERPAKSA BERGELAP: Peniaga di sebuah kedai kasut di Kompleks Pragin Mall menggunakan lilin selepas sebahagian Georgetown mengalami gangguan elektrik lebih sejam semalam.

GEORGETOWN: Kira-kira 80 peratus kawasan di Pulau Pinang dan selatan Kedah mengalami gangguan bekalan elektrik lebih sejam, semalam.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan, memaklumkan gangguan bermula pada jam 3.30 petang selepas suis talian penghantaran 275kV di pencawang masuk utama Juru, Seberang Prai, terpelantik.

Bagaimanapun, gangguan bekalan dipulihkan secara berperingkat dan sehingga jam 4.30 petang, kira-kira 90 peratus kawasan terjejas berjaya dipulihkan, dan sepenuhnya beberapa ketika kemudian.


"Kami meminta maaf atas kesulitan yang dialami pengguna di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan itu.

Laporan gangguan bekalan elektrik itu dijangka diketahui hari ini dan diserahkan kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Nilai kerugian akibat gangguan itu belum ditaksirkan.

Sementara itu, gangguan bekalan elektrik berkenaan menyebabkan beberapa orang awam terperangkap dalam lif.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima tujuh panggilan kecemasan di bahagian pulau ketika gangguan berlaku.

Beribu-ribu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menduduki peperiksaan dalam keadaan gelap dan kepanasan.

Bangunan tertinggi di negeri ini, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) juga mengalami gangguan seketika sebelum generator di premis itu berfungsi. Kesesakan lalu lintas juga berlaku kerana lampu isyarat tidak berfungsi.

Gangguan juga menyebabkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang masuk hari kedua terpaksa ditangguhkan.

Ketika itu, Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, sedang memberi penjelasan berhubung beberapa isu yang dibangkitkan pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Pembangunan 2008.

Mengulas mengenai kejadian itu selepas persidangan ditangguhkan, Koh berkata, ia sesuatu yang serius kerana turut menjejaskan isi rumah dan premis perniagaan yang mengakibatkan kerugian besar.



Berikutan kejadian itu, Ketua Menteri mengarahkan TNB menyediakan satu set generator di DUN mulai hari ini serta memastikannya sentiasa berada dalam keadaan baik.

0 comments: