Singapura dakwa Malaysia gagal kemuka bukti hak milik

Oleh Khirul Bahri Basaruddin di The Hague, Belanda

SINGAPURA yang menutup hujah lisan semalam, mempertahankan hak kedaulatan negara itu terhadap Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ejen Singapura, Prof Tommy Koh, memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Malaysia gagal mengemukakan sebarang bukti negara itu mempunyai hak milik asal terhadap ketiga-tiga bentuk muka bumi itu.

Katanya, Singapura berjaya menggunakan hujah lisan kedua-dua pusingan itu bahawa hak kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan menjadi hak milik negara itu sejak 150 tahun lalu.

"Sehubungan itu, mengikut Perenggan 2, Perkara 60, Peraturan Mahkamah, Singapura memohon kepada mahkamah supaya membuat perisytiharan republik itu mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan," katanya dalam ucapan penutup kes Singapura di depan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkar Al-Khasawneh serta barisan panel hakim tetap dan ad hoc, semalam.

Beliau mengambil masa kira-kira 12 minit untuk menyampaikan ucapan penutup iaitu 18 minit lebih awal masa yang diberikan mahkamah kepada negara itu menutup kes mereka pada jam 1 tengah hari.

Singapura memulakan hujah lisan pusingan pertama pada 3 hingga 6 November manakala pusingan kedua kelmarin hingga semalam.

Republik itu mengemukakan dua hujah utama iaitu, Pulau Batu Puteh terra nullius atau tidak bertuan dan kedua, semua kegiatan yang dijalankan sejak 1951 hingga 1980 membuktikan negara itu mempunyai hak kedaulatan ke atas ketiga-tiga bentuk bumi yang menjadi pertikaian itu.

Koh berkata, kes Malaysia bergantung penuh kepada hujah negara itu mempunyai hak milik asal ke atas pulau yang menjadi pertikaian sejak Kesultanan Johor dan kemudian Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia mengemukakan hujah itu kerana negara itu gagal mengemukakan sebarang bukti effectivit'es atau pentadbiran berkesan ke atas Pulau Batu Puteh sejak kira-kira 130 tahun dulu.

Dalam ucapan penutup itu juga Koh mengulangi apa yang disampaikan oleh wakil negara sebelum itu bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan berdasarkan kepada penemuan pulau oleh British dan kemudian dalam tempoh 1847-1851 selepas wujudnya rumah api hak milik pulau berada di tangan penjajah itu.

Beliau juga mengulangi hujah bahawa pada 1953 Johor adalah sebuah negara berdaulat dan semua tindakan yang diambil negeri itu selepas itu mengikat Malaysia.

Katanya, surat jawapan yang dihantar pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 yang menyatakan negeri itu tidak ingin menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Puteh mengikat Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa.

Koh berkata, kes republik itu tidak bersandarkan kepada surat 1953 tetapi menggunakan kandungan surat itu untuk menyokong atau mengesahkan negara itu mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Mengenai Batuan Tengah dan Tubir Selatan, Koh berkata kedua-dua bentuk bumi itu tidak boleh dipisahkan daripada Pulau Batu Puteh dan ia menjadi sebahagian daripada kepulauan Pulau Batu Puteh milik negara itu.

Malaysia memulakan hujah lisan pusingan kedua pada jam 3 petang (10 malam waktu Malaysia) Khamis ini.

0 comments: