Suri rumah cadang ambil tindakan undang-undang

Oleh OPAT RATTANACHOT

SIK 20 Nov. – Suri rumah yang mendakwa hilang dua jari tangan kanannya akibat kecuaian kakitangan Hospital Sik (HS) Sabtu lalu, bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap kakitangan hospital itu dan Kementerian Kesihatan.

Noraini Md. Isa, 35, dari Kampung Baru, Jalan Cemara, Jeniang, dekat sini berkata, tindakan tersebut diambil setelah mengambil kira kecacatan kekal yang dialaminya.

Katanya, dia juga berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Hasnah Ismail semalam yang seolah-olah menyatakan kejadian itu berpunca darinya.

“Saya tidak berpuas hati dengan kenyataan Dr. Hasnah kerana menganggap saya bersalah sedangkan Pengarah HS, Dr. V. Nesamani sebelum ini berjanji akan menyiasat perkara ini secara adil,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya dekat sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Dr. Hasnah yang menyatakan dua jari tangan kanan Noraini sukar disambung semula kerana saluran darah yang terlalu halus pada anggota itu.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan yang dilakukan HS, Noraini telah menerima rawatan segera dan sewajarnya daripada Penolong Pegawai Kesihatan (PPP) pada hari kejadian.

Noraini berkata, pada hari kejadian, seorang doktor dikatakan memarahi kakitangannya kerana gagal menyimpan jari yang putus dan membiarkan ia terdedah kepada udara dalam tempoh lama.

“Bagaimana pula Pengarah Kesihatan boleh mendakwa mereka telah menuruti semua prosedur yang ditetapkan sedangkan jari saya hanya dibalut dengan kertas tisu dan dibiarkan di atas meja?,” soalnya.

Berikutan itu, Noraini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, hari ini.

Utusan Malaysia semalam menyiarkan rasa tidak puas hati Noraini yang mendakwa kecuaian kakitangan Jabatan Kecemasan HS tidak menyimpan jari tangan kanannya yang terputus dalam peti sejuk atau ketulan ais telah menyebabkan dia kehilangan sebahagian jarinya itu.

Suri rumah itu berkata, dia kehilangan jari telunjuk dan hantu sepanjang dua sentimeter setelah doktor gagal menyambung kembali kerana selnya telah mati.

Ketika kejadian, Noraini dibawa oleh suaminya, Mohd. Saifol Abu Hassan, 41, ke HS untuk mendapatkan rawatan selepas dua jarinya terputus akibat terkena mata mesin pemotong rumput di rumah mereka.

0 comments: