'Tidak manis Nik Aziz sindir Pusat'

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam diberitahu adalah tidak manis Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melemparkan sindiran terhadap kerajaan Pusat ketika berucap pada pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), 29 Oktober lalu, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Datuk Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas), berkata tidak manis bagi kerajaan Pas Kelantan membuat sindiran seperti itu di hadapan Perdana Menteri yang ikhlas untuk memajukan Kelantan menerusi pembangunan dalam ECER.

"Pak Lah datang dengan hati terbuka dan memberi peluang kepada Menteri Besar (MB) berucap, tetapi apabila datang ke sini, ucapan MB kasar. Pak Lah ikhlas nak lancarkan ECER, tetapi terima sindiran sinis.

"Kita (wakil rakyat BN Kelantan) juga rasa kecil hati, merah telinga... kita rasa terhina sebab MB mempersoal dan pertikaikan Perdana Menteri seperti tiada duit nak lancarkan ECER, janganlah bersikap angkuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Mendengar ucapan Mustapha itu, Nik Abdul Aziz yang berada dalam dewan bangun dan berkata, "Saya cuma cerita apa yang berlaku dulu, apa-apa yang sindir tu tak ada pun," katanya sebelum duduk semula.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Annuar Musa (BN-Kok Lanas), berkata kerajaan Pas tidak perlu berkecil hati kerana ucapan Nik Abdul Aziz tidak disiarkan secara langsung di televisyen kerana semua Menteri Besar negeri BN juga ucapan mereka tidak disiarkan.

0 comments: